PRN: Peti undi mula tiba di pusat penjumlahan rasmi undi

0
159

PETI undi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri mula tiba di pusat penjumlahan rasmi undi selepas proses pengundian tamat secara rasmi pada 6 petang.

Pusat pengundian ditutup secara berperingkat-peringkat bermula pukul 1 tengah hari hingga 6 petang tadi bergantung kepada kedudukan kawasan yang terlibat.

Petugas SPR di TERENGGANU menggunakan helikopter bagi membawa peti undi daripada pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Pulau Redang ke pusat penjumlahan rasmi undi pada 4.45 petang di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato Razali Ismail, Batu Rakit.

Seramai 1,307 pengundi berdaftar di Pulau Redang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit dan pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Pulau Redang di pulau itu ditutup pada 3 petang.

Di SELANGOR, pusat penjumlahan rasmi undi bagi DUN N18 Hulu Kelang di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ )AU2, Keramat, menerima peti undi pertama kira-kira 6.30 petang.

Di KEDAH, pusat penjumlahan rasmi undi bagi DUN Jeneri di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sik turut mula menerima peti undi pertama kira-kira 6.30 petang yang merupakan peti undi awal.

Peti undi awal dan undi pos juga adalah yang pertama tiba di Kolej MARA Kuala Nerang yang merupakan pusat penjumlahan rasmi undi bagi kerusi DUN Kuala Nerang dan DUN Pedu.

Dalam pada itu, undi awal di sesetengah kawasan mula dikira pada 4 petang tadi dan disiarkan secara langsung melalui Facebook Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut SPR, setakat 4 petang tadi, Terengganu merekodkan peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu 70 peratus diikuti Kedah (68 peratus), Pulau Pinang (67 peratus), Selangor (65 peratus) dan Negeri Sembilan (62 peratus) dan Kelantan (56 peratus).

Bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang turut diadakan serentak, peratusan keluar mengundi yang dicatatkan setakat 4 petang tadi adalah 67 peratus.

Secara keseluruhannya, sebanyak 3,190 pusat pengundian mengandungi 17,048 tempat mengundi atau saluran dibuka bermula 8 pagi tadi bagi PRN enam negeri berkenaan, manakala 41 pusat mengundi membabitkan 217 tempat mengundi atau saluran dibuka bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu.

Menurut SPR jumlah pengundi berdaftar bagi PRN kali ini di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan adalah 9,773,571 orang dengan 9,674,456 daripadanya adalah pengundi biasa, 49,660 tentera serta pasangan, 47,728 polis dan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan dan 1,727 pengundi tidak hadir luar negara.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here