Kerajaan pusat mungkin berubah jika PN menang PRN enam negeri – Abdul Hadi

0
151

KEMENANGAN Perikatan Nasional (PN) di enam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti memungkinkan berlakunya perubahan kepada kerajaan pusat.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, kemungkinan itu berlaku dengan mengambil kira terdapat ahli Parlimen daripada UMNO serta daripada Sabah dan Sarawak akan menyokong gabungan tersebut nanti.

“Ada (ahli Parlimen) yang menunggu (keputusan) PRN di enam negeri, maka kemenangan (kepada) PN sangat penting (kerana) bukan untuk Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan sahaja tetapi untuk buat perubahan kerajaan pusat.

“Ia (kemenangan kepada PN) sangat penting (kerana) akan jadi tekanan (kepada kerajaan pusat) apabila enam negeri ditadbir PN.

“Ini kerja politik yang kita kena faham. Bukan kita fikir di sini sahaja (untuk mengundi semata-mata) tapi fikir kuasa orang Islam,” katanya ketika menyampaikan Ceramah Mega PRN Setiu 4-0 di Langkap di sini pada malam Selasa.

Turut hadir, calon Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim, Mohd Yusop Majid (Permaisuri), Azmi Maarof (Langkap) dan Mohd Shafizi Ismail (Batu Rakit).

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut menggesa semua pihak untuk tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab apabila tibanya hari mengundi nanti.

Katanya, mengundi adalah hak semua rakyat yang berpegang kepada prinsip demokrasi dengan memilih pemimpin yang bakal mentadbir negeri dan negara ini.

“Pilihan raya dalam Islam mestilah pilih pemimpin yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia. Itu syarat (memilih pemimpin),” katanya menurut Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here