Aktivis Chegubard dakwa MB Selangor berbohong isu tanah, kemukakan saman

0
153

AKTIVIS politik Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard mendakwa menteri besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berbohong mengenai status tanah yang terlibat dalam projek Selangor Maritime Gateway (SMG) yang bernilai RM10 bilion.

Amirudin sebelum ini berkata dana dan hutang syarikat ditanggung sepenuhnya pihak Berjaya Land yang terbabit dengan projek itu namun menurut perjanjian antara syarikat-syarikat terbabit dengan SMG, kenyataan tersebut tidak benar.

“Mengikut perenggan 4.1 dan 4.2(A), semua pinjaman yang diambil oleh LLBSB adalah menjadi 45% tanggungan kepada kerajaan negeri. 

“Kalau syarikat ini rugi, rakyat Selangor menanggung hutang yang telah diikat dan dipindah janji melalui perenggan 5.1(D) dan 6.3,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Malaysianow melaporkan,Badrul yang juga ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu turut menafikan kenyataan Amirudin berhubung status tanah seluas 600 ekar yang dikatakan oleh penyandang menteri besar itu sebagai milik kerajaan negeri.

“Sama ada beliau keliru, tak pandai undang-undang atau sengaja menipu. Mengikut perenggan 6.4, Landasan Lumayan Sdn Bhd kepada Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLSB), semua tanah diserahkan kepada LLSB tertera kepada perenggan 7.6 dan 8.4.”

Perjanjian itu menurut Badrul mempunyai tandatangan Vincent Tan dan Syed Ali Shahul Hameed, ketua pegawai eksekutif Berjaya Group yang menunjukkan syarikat berkenaan mengawal sepenuhnya projek berkenaan.

Ini sekali gus menafikan dakwaan Amirudin bahawa projek tersebut dikawal oleh kerajaan negeri.

LLSB juga mendapat lesen dan permit mengeluarkan batuan dan pasir di kawasan Sungai Klang yang terbabit dengan SMG. 

Amirudin dan Tan mengambil tindakan saman terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataan beliau mengenai projek itu.

Dalam pada itu, Badrul berkata dia akan menghantar surat tuntutan kepada Amirudin. 

Amirudin dalam sidang akhbar semalam mendakwa Badrul “boleh dibeli” dan “tiada kredibiliti”.

“Maka atas penyelewengan fakta ke atas saya, selewat-lewatnya petang ini dan esok pagi, saya akan memulakan tindakan saman ke atas penyandang menteri besar Selangor.

“Dia harus menarik semula fitnah, kedua minta maaf atau bertemu saya di mahkamah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here