PRK: Pengundi KT terus pilih PN?

0
169

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

CALON Pas mewakili Perikatan Nasional (PN), Datuk Ahmad Amzad Muhamad Hashim dijangka tidak berhadapan sebarang masalah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 12 Ogos ini.

Malah dalam perlawanan dua penjuru yang diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, Ahmad Amzad juga dikatakan bakal menang dengan majoriti lebih besar.

Hal ini kerana lawannya, Azan Ismail daripada Parti Keadilan Rakyat mewakili Pakatan Harapan (PH) dianggap bukan pencabar sebenarnya.

Ramai penganalisis dan pemerhati politik tempatan menyifatkan pencabar utama PN adalah UMNO- Barisan Nasional (BN) bukan PH.

Azan diumumkan sebagai calon PH yang akan bertanding bagi PRK Parlimen KT oleh Presiden PKR yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pengumuman Calon PKR, di Shah Alam, Selangor pada 22 Julai lalu.

Pengumuman itu sekaligus menyentakkan kepimpinan UMNO Terengganu dan juga bekas calon parti itu, Datuk Mohd. Zubir Embong.

Berdasarkan sejarah politik Terengganu hanya Pas dan UMNO sahaja menjadi pilihan rakyat khususnya pengundi manakala lain-lain parti boleh dikatakan sebagai tempelan sahaja.

Ramai mengetahui bahawa sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kerusi Parlimen KT dianggap sebagai antara kubu kuat BN.

Bagaimanapun, penguasaan BN di kerusi KT mula goyah ketika berlangsung Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 17 Januari 2009 diadakan selepas kematian wakil rakyat BN, Datuk Razali Ismail.

Dalam PRK yang melibatkan pertembungan tiga penjuru itu menyaksikan calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut.

Turut bertanding ialah calon Bebas, Azharuddin Mamat.

Mohd. Abdul Wahid yang memperoleh 32,8883 undi menang dengan majoriti 2,631 undi menewaskan Wan Ahmad Farid yang mendapat 30,252 undi manakala Azharuddin pula hanya mendapat 193 undi.

Bermula dari sinilah Pas kemudian terus berjaya mengukuhkan penguasaannya di kerusi KT dalam PRU13 apabila calonnya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad ketika itu mewakili gabungan Pakatan Rakyat menang dengan majoriti 10,785 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Raja Bahrin yang mendapat 45,828 undi menewaskan calon BN, Datuk Mohd. Zubir Embong (35,043 undi) dan calon Bebas, Maimun Yusof (182 undi).

Manakala dalam PRU14, 2018 pula Pas berjaya memenangi kerusi KT apabila Ahmad Amzad menang dengan majoriti lebih besar, iaitu 14,773 undi.

Beliau yang mendapat 42,988 undi berjaya menewaskan calon BN, Wan Nawawi Wan Ismail yang mendapat 28,215 undi dan Raja Kamarul Bahrin Shah (PH-PKR) mendapat 15,380 undi.

Sementara pada PRU15 pula, Ahmad Amzad yang sekali lagi dicalonkan mewakili Pas-PN berjaya meneruskan kekebalannya di KT setelah menang dalam pertandingan sengit melibatkan empat penjuru.

Bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu yang mendapat 63,016 undi menang dengan majoriti 40,907 undi menewaskan Datuk Mohd. Zubir Embong (BN) yang mendapat 22,109 undi, Mohamad Abu Bakar Muda (Pejuang) yang mendapat 481 undi dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (PH) yang mendapat 10,946 undi.

Melihat kepada populariti dan penerimaan para pengundi di Kuala Terengganu terhadap bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu semakin memberangsang kan, banyak pihak percaya ia mampu memberi kelebihan kepada Ahmad Amzad untuk mempertahankan kerusi ini dalam PRK nanti.

Ini kerana, beliau bukan sahaja dilihat cukup rapat dan mesra dengan para pengundi sebaliknya sentiasa cakna rakyat sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di kawasan KT.

PRK KT diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menerima petisyen yang difailkan
Mohd Zubir untuk membatalkan kemenangan Ahmad Amzad pada PRU-15 lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen di Parlimen Kuala Terengganu pada PRU-15. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here