Trend angkat tangan ala Sanusi petanda sokongan rakyat pada PN

0
231

TREND mengangkat tangan ala Sanusi yang kian popular ketika ini menunjukkan betapa sokongan rakyat terhadap pemimpin itu dan Perikatan Nasional (PN) terus meningkat menjelang hari pengundian pada 12 Ogos nanti.

Ahli Jawatankuasa Lajnah Politik Pas Kedah, Datuk Wan Romani Wan Salim, di kebanyakan tempat beliau berkunjung, rata-rata rakyat meminta untuk bergambar dengan cara sedemikian sebagai manifestasi sokongan mereka terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang diserang bertalu-talu oleh kepimpinan kerajaan Perpaduan.

Justeru katanya, beliau yakin betapa tindakan kalangan menteri yang turun ke Kedah bagi menyerang Muhammad Sanusi secara habis-habisan kebelakangan ini tidak akan memberi kesan kepada kekuatan PN sebaliknya hanya menambah sokongan rakyat terhadap gabungan itu.

“Rakyat memang marah sebab mereka bukan saja tidak menunaikan janji malah tidak fokus kepada ekonomi rakyat dan pentadbiran. Apa yang mereka tumpukan hanyalah untuk menyerang Muhammad Sanusi dan pentadbiran di Kedah. Seolah-olah Kedah saja yang ada Pilihan Raya Negeri. Ini antara faktor yang akan membantu kami untuk meraih kemenangan lebih besar dalam PRN kali ini.

“Selain itu mereka juga yakin kalau PN menang di enam negeri, maka kerajaan Persekutuan juga tak mustahil bertukar. Disebabkan itu, ada antara rakyat yang dah tak sabar nak mengundi,” katanya kepada Warta Rakyat.

Tindakan Muhammad Sanusi mengajuk gaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dituduh di Mahkamah Selayang pada 17 Julai lalu kini menjadi trend dalam kalangan pengikutnya.

Malah ketika berceramah di pentas, Muhammad Sanusi sering meminta kalangan jurugambar mengambil gambar para penyokongnya yang mengangkat tangan sedemikian rupa.

Wan Romani yang juga calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang berkata, gelombang rakyat menyokong PN kali ini lebih besar berbanding ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November lalu.

“Perkara itu terbukti sewaktu kita mengumumkan calon-calon PN di Kompleks Pas, pada 26 Julai lalu. Sepanjang saya bersama Pas di Kedah, tak pernah lagi saya lihat kehadiran seramai itu di Kompleks Pas Kedah termasuk ketika penamaan calon PRU15.

“Jumlah kehadiran cukup luar biasa sampai orang dah tak boleh masuk ke padang yang menjadi lokasi penamaan calon tersebut. Saya percaya semua itu merupakan petunjuk yang baik daripada rakyat bahawa PN sememangnya mendapat sokongan mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here