Lau patut disambut baik, dibantu dan dilindungi – Takiyudin

0
215

PAS mengemukakan permohonan maaf kepada parti rakannya dalam gabungan PN berikutan insiden Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau dihalang dan dihalau dari majlis ceramah di Tasek Gelugor kelmarin.

Dalam kenyataan lewat malam tadi PAS berkata Lau sepatutnya disambut baik dan diberikan penghargaan sebagai tetamu parti sesuai dengan akhlak Islam.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata Gerakan adalah rakan gabungan PN, bahkan Lau sendiri merupakan calon dalan pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Justeru katanya PAS Pusat berpendapat Lau wajar diberikan penghormatan yang layak dan munasabah oleh ahli parti terbabit di Pulau Pinang.

“Dalam suasana politik semasa yang dicemari oleh naratif cauvinis dan melampau, maka sebagai sebuah parti Islam yang tertua dan besar, PAS percaya kita bertanggungjawab bukan sahaja untuk menunjuk arah kepada politik matang dan sederhana, malah bertanggungjawab untuk memberi pertolongan dan perlindungan kepada pihak-pihak yang memerlukannya,” kata Takiyuddin.

Rasa tidak puas hati PAS Pulau Pinang terhadap Lau bermula sejak menjelang hari penamaan calon apabila namanya dikaitkan dengan kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang terletak di kawasan parlimen Tasek Gelugor.

Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau.

Ketiga-tiga kerusi DUN tersebut merupakan kawasan majoriti Melayu dengan sekurang-kurangnya 65 peratus adalah daripada kaum berkenaan.

Lau kemudian dikaitkan pula dengan kerusi DUN Bayan Lepas (dalam parlimen Balik Pulau) yang juga merupakan kawasan majoriti Melayu.

Menjelang hari penamaan calon pemimpin PAS peringkat pertengahan dan akar umbi malah mengadakan protes terbuka mengecam teruk Lau. Bagaimanapun akhirnya kepemimpinan tertinggi PN tetap meletakkan Lau di kerusi yang disebut-sebut sepatutnya ditandingi Setiausaha Perhubungan PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim.

Rasa tidak puas hati itu juga menyaksikan Lau dihalau dari menghampiri pentas ceramah di Tasek Gelugor semalam walaupun sebelum itu dia ditemani Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad.

Iszuree sendiri ‘menghalau’ Lau dari situ atas alasan dia tidak diundang.

Mesti yakin pada presiden

Walaupun begitu Lau meredakan keadaan dengan menganggap dia sebenarnya tidak dihalau oleh PAS negeri terbabit sebaliknya hanya kesilapan teknikal apabila dia mahu bertemu serta berbincang dengan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun petang semalam Gerakan dilaporkan media sebagai menuntut PAS memberi penjelasan berhubung insiden yang membabitkan Lau.

Menurut akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang merangkap timbalan presiden parti itu, Oh Tong Keong, berkata penganjur bersikap biadab kepada Lau.

“Walaupun Lau tidak dijemput, dia (Lau) adalah Timbalan Presiden PN dan Pengerusi PN Pulau Pinang.

“Penganjur bersikap biadab dan tidak menghormati pemimpin parti komponen dalam PN,” katanya.

Takiyuddin berkata PAS Pusat sedar mengenai sentimen tidak puas hati dalam kalangan ahli dan penyokong parti terbabit di peringkat negeri ekoran pencalonan Lau di Bayan Lepas.

Pun begitu, kata ahli parlimen Kota Bharu berkenaan, semua pihak perlu menerima dengan hati terbuka apabila sesuatu keputusan sudah dibuat dan mereka juga mesti meletakkan kepercayaan kepada pemimpin parti yang diketuai Abdul Hadi sendiri.

“Justeru saya menyeru ahli-ahli PAS berkaitan supaya menyedari bahawa bantahan berterusan dan tindak-tanduk yang berlawanan dengan kepentingan parti bukan sahaja mungkin menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan PN, malah turut mencabar dan mempersoalkan kebijaksanaan serta ketepatan keputusan Tan Sri Presiden PAS sendiri,” katanya, lapor MalaysiaKini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here