MBI Kedah minta Saifuddin perbetul kenyataan atau berdepan tindakan undang-undang

0
153

PERBADANAN Menteri Besar (MBI) Kedah hari ini menafikan beberapa kenyataan dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang didakwa mengelirukan dan tular di media sosial termasuk TikTok serta Facebook berkaitan isu unsur nadir bumi (REE) baru-baru ini.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, syarikat itu pertamanya mengulas mengenai kenyataan Saifuddin pada 15 Julai lalu yang dibuat dalam ceramah di Padang Awam Guar Chempedak.

Dalam ceramah tersebut, Saifuddin bertanyakan kepada Pengerusi MBI Kedah sama ada beliau pernah menerima surat yang menghendaki MBI Kedah membayar kompaun berjumlah RM500,000 kerana mencuri REE di Kampung Chong dekat Sik.

“Menurut rekod MBI Kedah, surat tersebut dikeluarkan Pejabat Tanah Dan Galian kepada MBI Kedah dan individu bernama Ho Chung Meng. Surat tersebut dialamatkan kepada MBI Kedah kerana MBI Kedah adalah pemegang lesen ladang hutan yang sah manakala Ho Chung Meng pula adalah orang yang telah mengakui kesalahan dan membayar denda.

“Tidak ada nama Pengerusi MBI Kedah seperti yang disebut Saifuddin,” katanya.

Dalam kenyataan sama, MBI Kedah turut mengulas mengenai kenyataan dibuat Saifuddin pada 26 Julai di Pusat Operasi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantek, Inap Desa Din Haji Salleh yang mendakwa terdapat seorang warganegara China bernama Huang Zhi Yi yang ditahan pihak berkuasa dan bekerja dengan MBI Kedah.

“Huang Zhi Yi bukan pekerja MBI Kedah. Proses pengambilan pekerja di MBI Kedah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan pemohon pelru melalui temu duga serta pemeriksaan kesihatan sebelum tawaran pekerjaan dikeluarkan.

“Tiada surat tawaran pekerjaan dikeluarkan kepada Huang Zhi Yi hingga kini. Oleh itu MBI Kedah menafikan Huang Zhi Yi sebagai pekerja MBI Kedah,” katanya.

Selain itu, MBI Kedah turut mengulas mengenai kenyataan dibuat Saifuddin pada tarikh dan lokasi sama yang mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor membawa masuk Huang Zhi Yi dan meletakkannya di MBI Kedah.

“MBI Kedah bukan majikan Huang Zhi Yi. Majikan bermaksud mana-mana orang yang membuat kontrak perkhidmatan untuk mengambil bekerja orang lain sebagai pekerja. Majikan dan pekerja akan terikat dengan kontrak perkhidmatan.

“Tiada kontrak perkhidmatan dikeluarkan atas nama Huang Zhi Yi. Oleh yang demikian, MBI Kedah menafikan menjadi majikan kepada individu berkenaan sebagaimana disebut Saifuddin,” katanya.

Sementara itu MBI Kedah turut menafikan kenyataan dibuat Saifuddin di lokasi serta tempat sama yang mendakwa Menteri Besar memberikan kawasan Bukit Enggang kepada MBI Kedah.

“MBI Kedah Incorporated JV Jaentique Sdn. Bhd. telah mendapat surat kelulusan Projek Pembangunan Ladang Hutan di sebahagian kompartmen 12, Hutan Simpan Bukit Enggang daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah pada Mei 2016. Kerajaan negeri mellaui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hasil Bumi Negeri telah meluluskan kawasan pada November 2015.

“Menteri Besar Kedah pada masa itu bukanlah Muhammad Sanusi seperti dinyatakan Saifuddin,” katanya.

MBI Kedah menambah, kenyataan itu dikeluarkan bagi menjaga nama baik dan imej syarikat itu, selain bertujuan mengelakkan kekeliruan dan tanggapan negatif orang awam serta mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan mereka.

“MBI Kedah menuntut Saifuddin membetulkan kenyataan dikeluarkan itu dan berhenti menyebarkan kenyataan mengelirukan.

“Sekiranya tiada sebarang tindakan diambil Saifuddin, MBI Kedah akan menyerahkan perkara ini kepada proses perundangan selanjutnya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here