Selepas PJD Link, ECRL pula hantui Amirudin di Gombak

0
203

PROJEK Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menghantui pentadbiran Amirudin Shari, meskipun menteri besar Selangor itu berdepan kecaman terhadap pembinaan Petaling Jaya Dispersal (PJD) Link, satu lagi projek kontroversi yang beliau batalkan namun dalam pada masa sama memberi bayangan akan mengkaji semula jika memenuhi syarat tertentu.

Penduduk di kawasan Parlimen Gombak kini mempersoalkan pendiriannya berhubung isu pengambilan tanah yang terjejas akibat ECRL, projek mega kereta api berkelajuan tinggi merentasi Semenanjung yang pernah ditentang Pakatan Harapan (PH). 

Ini berlaku selepas MalaysiaNow melaporkan kebimbangan penduduk di Taman Sungai Sireh, Klang mengenai nasib kediaman mereka, dengan 89 rumah berisiko dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek ECRL. 

Kini, 13 lagi kampung di utara Gombak mungkin dirobohkan susulan projek itu. 

Penduduk mendakwa kontraktor ECRL menggunakan cara yang tidak beretika sama seperti di Taman Sungai Sireh, di mana rumah ditanda untuk dirobohkan tanpa kebenaran mereka.

Pengerusi persatuan penduduk Desa Mukmin Warisan Batu 7, Mohmad Najib Mokhtar berkata, sebanyak 64 rumah telah menerima notis daripada Jabatan Tanah Selangor dan Jabatan Tanah Persekutuan.

“200 penduduk di sini menjadi trauma dan terkejut dengan tindakan kerajaan Selangor kerana mereka tidak berunding terlebih dahulu.

“Pekerja ECRL pun datang secara mengejut dan membuat kerja sesuka hati,” katanya.

Situasi itu menyebabkan penduduk merasa mereka dianaktirikan oleh pimpinan negeri. 

Najib berkata, penduduk tidak tahu mereka akan dipindahkan atau diberikan pampasan, atau projek akan dijalankan secara paksaan.

Najib memaklumkan, Amirudin sudah bertemu dengan pihak penduduk sebanyak dua kali dan memberitahu stesen terakhir ECRL akan ditempatkan di Batu 16, manakala jajarannya akan dilencongkan ke Serendah. 

“Kita percaya apa yang dia cakap tapi semasa Hari Raya Puasa lalu, kita hendak berjumpa lagi kerana pencerobohan pekerja ECRL semakin kerap.

“Tetapi masih tiada jawapan daripada menteri besar,” katanya.

ECRL sepanjang lebih 600 kilometer merupakan projek cetusan bekas perdana menteri, Najib Razak dengan kerjasama syarikat dari China.

Amirudin, yang menjadi ahli Parlimen Gombak selepas Pilihan Raya Umum ke-14  dalam satu sidang media baru-baru ini berkata, pembinaan ECRL kini tertumpu di kawasan Gombak, menuju ke arah Serendah.

“Saya rasa kita fokus di sana (Gombak) dan saya juga akan beri penyelesaian di Gombak. 

“Itu akan saya terangkan nanti,” kata Amirudin, yang mana kerajaan negerinya berdepan cabaran terbesar daripada pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri 12 Ogos ini.

Di Taman Rawiyah Sulaiman, Batu 8, pengasas penempatan itu Rawiyah Kamil turut melahirkan kegusaran terhadap respons kerajaan negeri yang tidak menggalakkan.

Katanya, kakitangan ECRL sudah mula menceroboh sejak 2016. 

“Anak saya buat laporan di balai polis. Perkara itu terhenti dan berulang beberapa kali sehinggalah pada 2022. 

“Tahun lepas mereka guna macam-macam cara untuk ceroboh. Mereka masuk pukul 10 ke 11 pagi ketika orang kampung tiada,” katanya kepada MalaysiaNow.

Rawiyah berkata, jajaran ECRL akan melalui bahagian tengah kampung itu. 

Ini bermakna, mereka yang berada di atas bukit tidak boleh turun ke bawah dan mereka yang berada di bawah tidak boleh naik ke bahagian atas.

Katanya, mereka tidak mahu berpindah kerana ingin mengekalkan komuniti Melayu di tanah rizab Melayu. 

Pembinaan ECRL turut mengganggu perkampungan Orang Asli di apabila kebun milik seorang tok batin di Kampung Orang Asli Batu 16 dimusnahkan untuk membuat laluan kepada kerja-kerja menyiapkan terowong projek berkenaan.

Tok batin itu yang dikenali sebagai Tok Ulang, ingin meminta baki pampasan untuk kawasan kebun dan sungai yang telah diganggu oleh kerja-kerja mengorek jalan untuk ECRL.

“Dia ada bayar pampasan untuk sebahagian kebun yang rosak, tapi sebahagian lagi belum bayar, termasuk sungai yang tercemar,” katanya.

Selain itu, tanah yang dikorek itu juga berisiko untuk merosakkan rumah salah satu keluarga Orang Asli di situ. 

“Bila hujan, air banyak mengalir ke kawasan rumah sebab kontraktor tidak buat longkang,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here