PRN: Selesai masalah air, perparitan fokus calon Pas DUN Salor

0
138

CALON Pas yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor menjadikan masalah bekalan air bersih dan perparitan sebagai agenda utama jika diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Saizol Ismail berkata, setakat ini sudah ada beberapa langkah penyelesaian dilaksanakan oleh kerajaan negeri seperti Program Air Sejahtera dan melalui inisiatif rakyat sendiri dengan membina telaga tiub.

Menurutnya, kawasan itu memerlukan sebuah loji berkapasiti  dua juta liter air sehari yang menampung keperluan hampir 2,000 isi rumah sekali gus mampu menyelesaikan masalah dihadapi penduduk di Salor sejak sekian lama.

“Buat masa ini, rakyat di Salor bergantung kepada loji air di Pintu Geng dan bagi saya elok jika dibina sebuah loji berkapasiti dua juta liter air sehari di lokasi bersesuaian di Salor.

“Saya pernah berkhidmat bersama bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Dari situ saya melihat sendiri beberapa langkah penyelesaian sudah dan sedang diambil,” katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Saizol memberitahu, dia turut memberi jaminan untuk menyelesaikan isu perparitan di beberapa kawasan dalam DUN Salor.

Katanya, isu tersebut yang menjadi salah satu punca berlaku situasi air termenung apabila hujan lebat atau banjir.

“Alhamdulillah, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sendiri sudah ada perancangan dalam menyelesaikan masalah perparitan ini.

“Saya sendiri sentiasa mengikuti perkembangan daripada pihak JPS dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta akan fokus kepada isu berbangkit. Dari segi perancangan, kita sudah angkat cadangan penyelesaian untuk beberapa kawasan kritikal seperti Dewan Beta dan kerja naik taraf pembinaan longkang sedang berjalan,” ujarnya lapor Utusan Malaysia.

Pada PRN nanti Saizol akan berdepan calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Husain di DUN Salor pada PRN nanti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here