Bayi 40 hari alami pendarahan otak dihempas ke lantai

0
146

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEORANG bayi berusia 40 hari mengalami pendarahan otak selepas dihempas ke lantai oleh bapa saudaranya yang dipercayai mengalami gangguan mental dalam kejadian di sebuah pangsapuri di George Town, Pulau Pinang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, suspek berusia 28 tahun turut mencampak seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dari tingkat satu pangsapuri berkenaan sehingga patah kaki dan cedera pada mulut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada bapa kanak-kanak berkenaan pukul 9.30 malam tadi.

Menurut beliau, lelaki berusia 31 tahun itu mendakwa suspek yang juga adik iparnya telah menghempas dan mencampak anaknya dari tingkat satu blok pangsapuri kediaman mereka.

“Kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Soffian, ketika kejadian, suspek dikatakan dalam keadaan tidak berpakaian dan turut cedera pada pergelangan tangan kiri akibat dikelar sendiri.

Jelas beliau, ahli keluarganya turut memaklumkan suspek yang tidak bekerja dan mempunyai satu rekod jenayah membabitkan kesalahan dadah itu mengalami gangguan mental sejak sebulan lalu.

Ujarnya, suspek juga telah ditahan oleh pasukan D9 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Timur Laut dan direman selama tujuh hari sehingga 9 Ogos ini.

“Suspek kini ditahan di HPP untuk rawatan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cubaan bunuh,” katanya.

Dalam pada itu, Soffian turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu tampil ke ibu pejabat polis daerah Timur Laut bagi membantu siasatan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here