Lelaki didakwa minta, terima telefon pintar, lensa kamera, wang tunai lebih RM148,000 sebagai upah

0
156

SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 11 pertuduhan meminta dan menerima telefon pintar, wang tunai serta lensa kamera berjumlah RM148,076 sebagai upah mendapatkan tiket penerbangan jemaah umrah dan haji antara Disember 2019 sehingga Februari 2023.

Tertuduh, Muhammad Fariz Jamaluddin ,35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu selepas pertuduhan di bacakan di hadapan Hakim Azura Alwi pagi ini, lapor Utusan TV.

Mengikut empat pertuduhan, tertuduh didakwa telah secara rasuah meminta dan menerima dua unit telefon pintar jenis Samsung Galaxy Z Fold dan Iphone14 Pro Max 1TB dengan harga berjumlah RM15,598 daripada Ab Hakimee Abdullah.

Perbuatan itu adalah sebagai upah mendapatkan 2231 tiket penerbangan Saudi Airlines bagi urusan jemaah-jemaah mengerjakan umrah untuk bulan Julai sehingga November 2022.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai telefon pintar serta di sebuah kediaman di sekitar Kuala Lumpur antara 14 Ogos sehingga 3 November 2023.

Bagi lapan lagi pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah meminta dan menerima wang tunai berjumlah RM96,420 masing-masing daripada Ab. Hakimee, Mohd. Zahid Saaizan, dan Abdul Rahim Ibrahim.

Kesalahan meminta dan menerima wang tunai secara rasuah itu adalah sebagai upah membantu mendapatkan 3,522 tiket penerbangan Saudi Airlines untuk jemaah umrah bagi bulan Ogos 2019 sehingga Januari 2023 serta 191 tiket penerbangan jemaah haji bagi tahun 2022.

Muhammad Fariz Jamaluddin,35, didakwa meminta dan menerima telefon pintar, wang tunai dan lensa kamera berjumlah RM148 ribu sebagai upah bagi mendapatkan 2231 tiket penerbangan urusan jemaah mengerjakan Umrah dan Haji antara 2019 hingga 2023 selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Perbuatan itu didakwa dilakukan di di lima buah kedai makan berlainan dan di sebuah kediaman di sekitar ibu negara antara 16 Disember 2019 sehingga 8 Disember 2022.

Mengikut satu lagi pertuduhan, tertuduh didakwa menerima satu set lensa kamera jenama SONY FE 35MM F1.4 GM LENS bernilai RM6,600 daripada Abdul Rahim dapatkan 90 tiket penerbangan Saudi Airlines jemaah umrah untuk bulan Februari 2023.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai kamera di Berjaya Times Square pada 7 Februari lalu.

Bagi kesemua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh menawarkan jaminan sebanyak RM70,000 ke atas tertuduh selain syarat tambahan agar menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Ridha Abdah Subri memohon jumlah jaminan yang minima memandangkan anak guamnya itu kehilangan sumber pendapatan sejak ditahan oleh SPRM serta seorang duda yang menjaga dua cahaya mata berusia lima dan lapan tahun.

Peguam itu juga tidak membantah cadangan syarat tambahan yang dikemukan oleh pihak pendakwaan.

Hakim Azura kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan dua orang penjamin serta bersetuju untuk mengenakan syarat tambahan sepertimana yang ditawarkan oleh pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 18 September depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen di hadapan Hakim Rozina Ayob.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here