4 hari bersembunyi, pekerja ladang bakar isteri ditahan polis

0
161

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SELEPAS empat hari menyembunyikan diri, seorang pekerja ladang yang membakar isterinya sehingga mengakibatkan kecederaan parah dalam kejadian di Tasek Gelugor, Pulau Pinang Isnin lalu akhirnya berjaya ditahan polis.

Suspek yang berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah kawasan di Nibong Tebal, Pulau Pinang kira-kira pukul 12.30 tengah hari, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang untuk mendapatkan perintah reman pagi esok.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita berusia 35 tahun melecur 27 peratus di anggota badan selepas suspek menyimbah petrol dan membakar mangsa di rumah mereka di kawasan ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor.

Pasangan suami isteri yang telah berkahwin sejak 15 tahun itu dikatakan bertengkar sebelum suspek bertindak demikian kira-kira pukul 9.30 malam.

Hasil siasatan mendapati, pasangan suami isteri itu tinggal di kediaman yang disediakan untuk pekerja di ladang berkenaan.

Susulan kejadian itu, mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP). – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here