PN akan tunai janji dalam manifesto, wujud kerajaan negeri adil, saksama, efektif – Muhyiddin

0
123

PERIKATAN Nasional (PN) berjanji  melaksanakan segala yang dijanjikan dalam manifestonya yang akan dilancarkan tidak lama lagi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu berkata, jika terpilih gabungan itu mahu mewujudkan sebuah kerajaan negeri yang adil, saksama, efektif.

‘’Apa yang paling penting ialah bertindak cepat untuk menangani masalah kehidupan rakyat seperti isu kos sara hidup, kenaikan harga barang, inflasi, peluang pekerjaan serta hal-hal yang berkaitan pemulihan ekonomi negara. Semua ini terkandung dalam Manifesto PN yang akan kita lancarkan tidak lama lagi,’’ katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri hari ini mengiringi tiga calon PN)ke pusat penamaan calon bagi kerusi DUN Sungai Tua Muhammad Hanif Jamaluddin , DUN Gombak Setia Hilman Idham dan DUN Hulu Kelang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas proses penamaan calon, Muhyiddin berkata, beliau  gembira melihat semangat para penyokong dan pendukung PN yang begitu ramai dan bersemangat.

‘’Marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan semua calon yang mewakili PN akan menang dan dapat membentuk kerajaan negeri yang dipimpin oleh PN, insya-Allah,’’ katanya.

Muhyiddin berkata, beliau dimaklumkan proses penamaan calon di semua negeri terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) juga berjalan lancar.  

‘’Terima kasih kepada semua pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bekerja keras untuk memastikan proses penamaan calon berjalan dengan sempurna,’’ katanya, lapor WartaRakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here