Perikatan Nasional tidak akan khianati rakyat -Tuan Ibrahim

0
184

PERIKATAN NASIONAL (PN) berpegang kepada janji tidak akan khianat kepada pengundi dan rakyat yang telah memberi keyakinan serta sokongan sebagaimana gelombang besar ditunjukkan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas sudah menegaskan sebelum PRU15 lagi tidak akan bersama DAP dan Barisan Nasional (BN), tetapi kekal dengan Muafakat Nasional.

“Sebab itu bagi kita kebangkitan rakyat sekarang, kenapa? Kerana tak percaya pada kerajaan yang ada. Hari ni saya menang, pagi besok minyak turun. Yang tahu semua orang boleh nilai, semua boleh tengok balik. Bercakap pagi lain, petang lain,” tegasnya di Kota Bharu lapor HarakahDaily.

Kata beliau, selepas PRU-15 akhirnya rakyat termasuk ahli-ahli UMNO semakin yakin wujud rundingan antara pemimpin mereka walaupun telah bersumpah ‘wallahi, wabillahi, watallahi’ bahawa ‘No Anwar, No DAP’.

Manakala di pihak satu lagi tegas beliau, bersumpah dengan nyanyian lagi ‘hoi hoi ya hoi’, serta serangan tuduhan seperti ‘penyangak, perompak, penyamun, perasuah, sakau’ yang membuatkan pengikut percaya.

Kerana itu kata Tuan Ibrahim gelombang kali ini lebih besar disebabkan ahli dan penyokong masing-masing PH-BN sudah tahu bahawa pemimpin mereka telah melakukan pembohongan.

Beliau berkata, gelombang besar yang awal sudahpun berlaku apabila rakyat mahukan kerajaan berintegriti berbanding parti-parti dipenuhi masalah dan terpalit dengan pelbagai dakwaan skandal rasuah.

Beliau mengimbas kesungguhan pentadbiran PN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membantu rakyat ketika berada dalam kesusahan dan cabaran pandemik Covid-19.

Begitu juga menurutnya, rakyat merasai kesan dari melaksanakan tanggungjawab dalam pemerintahan sebagaimana model ditunjukkan Kerajaan Pas Kelantan kepada kerajaan-kerajaan yang lain.

“Siapa yang memula kerja lima hari seminggu? Siapa mula keluarkan duit wang daripada bank-bank riba kepada Bank Islam. Siapa yang mulakan cuti isteri bersalin? Siapa yang beri cuti pada suami bila isteri bersalin? 

“Siapa yang beri perumahan kepada rakyat yang miskin, yang susah pelbagai kemudahan? Siapa yang menutup mula menutup premis perjudian? Siapa yang tutup bar, disko dan kelab-kelab malam? 

“Siapa yang mengadakan peraturan kepada persembahan kebudayaan? Kita mendahului orang contoh kita. Bila orang contoh kita, makna kita comel, kita molek. Kalau kita hodoh, contoh buat gapo? Kalau kita pelawak, orang tak ikut kita,” tegas beliau lagi.

Tuan Ibrahim berkata,  pemerintahan Islam membuktikan keadilan dan keharmonian dalam semua aspek, berbeza  kebimbangan yang cuba dihasutkan g kononnya akan merobohkan rumah ibadah bukan-Islam.

Beliau berkata, pemerintahan Islam bukan dilaksanakan dengan politik hawa nafsu tetapi berdasarkan panduan jelas yakni al-Quran daripada Allah SWT dan as-Sunnah Rasulullah SAW.

Katanya, ‘Tuan Besar’ kepada bumi ini adalah Allah SWT dan manusia tidak boleh berbuat sesuka hati atau sewenangnya melainkan mengikut segala peraturan telah ditetapkan-Nya.

“Sebab itu setiap kali kita sembahyang kita akan minta doa pada Allah. “Ya Allah tunjuk pada kami jalan yang betul”. Nak memerintah kena jalan betul. Nak masuk politik biar jalan betul. 

“Nak meniaga biar yang betul. Nak bertani biar jalan yang betul. Semua mesti bergerak atas jalan yang betul. Barulah kita sampai pada penghujung jalan yang betul itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here