PAS ajak ahli lihat parti gabungan PN sebagai kawan, bukan musuh

0
143

PAS sekali lagi mengingatkan ahli dan pemimpinnya agar walak kepada keputusan parti dan tidak melawan arahan.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ahli dan kepemimpinan parti itu tidak seharusnya menentang keputusan parti sama ada pihak yang disokong dicalonkan atau sebaliknya dalam pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

“Parti tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin demi mempastikan PN mencapai kejayaan dalam PRN kali ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia muncul sejurus selepas media melaporkan Presiden Gerakan Dominic Lau disahkan menjadi calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas.

Bayan Lepas merupakan satu daripada tiga kerusi DUN yang diletakkan di bawah kawasan parlimen Balik Pulau.

Semua DUN terbabit menyaksikan sekurang-kurangnya 65 peratus daripada pengundi adalah orang Melayu.

Semalam beberapa ketua cawangan PAS Bayan Lepas menyatakan kemarahan mereka apabila Lau bakal menjadi calon PN di kawasan itu ketika mereka sebenarnya mahukan setiausaha badan perhubungan parti terbabit, Iszuree Ibrahim, sebagai wakil.

Malah salah seorang anggota Jawatankuasa Jabatan Pilihan Raya PAS Pulau Pinang mengecam Lau sebagai bacul dan penakut kerana mahu bertanding di kawasan majoriti Melayu sedangkan calon lain dari Gerakan dibiarkan berdepan dengan DAP di kawasan Cina.

Ajak perkukuhkan saf

Ketika majlis pengumuman calon-calon PN Pulau Pinang berlangsung malam tadi, nama untuk Bayan Lepas tidak diuar-uarkan, namun nama Lau ada dalam senarai yang diedarkan kepada media.

Kira-kira jam 12 tengah malam tadi, Iszuree dilihat mengemas kini hantaran Facebook dengan membayangkan kepasrahannya selepas “disailang” dua kali.

Beberapa jam kemudian dia kemudian berkongsi klip video TikTok mengenai bantahan ketua-ketua cawangan PAS Bayan Lepas.

Kelmarin nama Lau dikaitkan dengan kerusi DUN Teluk Air Tawar dan Permatang Berangan- juga bermajoriti Melayu – yang terletak di bawah parlimen Tasek Gelugor.

Bagaimanapun pemimpin Pemuda PAS kawasan terbabit memberi amaran kepada Lau agar tidak ‘bermain api’ dan membatalkan hajatnya untuk bertanding di situ.

Awal petang ini Lau mengesahkan kepada Malaysiakini yang dia sudah dimuktamadkan menjadi calon PN di Bayan Lepas.

Tuan Ibrahim berkata PAS sudah memuktamadkan senarai calon yang akan mewakili PN dalam PRN tidak lama lagi dan semua pihak terikat kepada peraturan parti.

Dia juga menjelaskan PAS membuat keputusan mengenai penggunaan logo PAS atau PN yang akan digunakan nanti.

“Harus diingatkan, sebagai satu team kita mesti melihat gabungan sebagai kawan bukan musuh, manakala perbezaan pandangan perlu dirujuk kepada pimpinan tertinggi parti.

“Marilah kita perkukuhkan saf, rapatkan hubungan dengan semua pendukung PN demi mencapai kejayaan dalam PRN kali ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here