Lau: PAS dan dasar PN perkara berasingan, Genting masih ada

0
161

DASAR berteraskan agama PAS di empat negeri yang ditadbir sering meletakkan sekutunya, Gerakan, yang sebahagian besar anggotanya terdiri daripada bukan Islam, dalam kedudukan yang janggal.

Bagaimanapun, Presiden Gerakan Dominic Lau, dalam temu bual dengan Malaysiakini baru-baru ini, percaya bahawa undang-undang dan dasar berasaskan negeri tidak mencerminkan hala tuju keseluruhan Perikatan Nasional (PN).

Buktinya, kata Lau, adalah semasa PN menerajui kerajaan persekutuan antara 2020 dan 2022.

“Adakah PN pernah berkuasa? Ya. Semasa PN berkuasa, bukankah kita masih dapat terus minum arak? Bukankah daging babi masih dijual?

“Awak kena paksa pakai songkok ke? Genting (Highlands Casino) masih adakan?” soal Lau.

Ini, katanya, adalah bukti bahawa pemerintahan PN di bahagian lain di negara ini tidak perlu mengikut acuan yang digunakan oleh PAS.

Sebaliknya, dia berkata kerajaan tempatan mempunyai kebebasan untuk menggubal undang-undang dan dasar yang sesuai berdasarkan pertimbangan etnik, agama dan budaya.

Cakap-cakap mengenai penghakisan hak orang bukan Islam sekiranya PN memerintah, kata Lau, hanyalah propaganda DAP.

Lau berkata demikian ketika ditanya jika dasar negeri di Kedah, Terengganu, Kedah dan Perlis dianggap sebagai dasar PN.

Kelantan, khususnya, menjadi tumpuan baru-baru ini selepas seorang pemilik perniagaan bukan Islam didenda kerana berseluar pendek di premisnya sendiri. Manakala seorang pendandan rambut bukan Islam turut didenda kerana melayan pelanggan lelaki.

Lau berkata bahawa PN telah membuktikan bahawa ia mampu mentadbir secara adil dan contoh terbaik ialah bagaimana ia menangani wabak Covid-19, apabila vaksin dan bantuan kewangan diagihkan tanpa pertimbangan agama atau kaum.

“Apabila Covid-19 melanda, PN adalah kerajaan persekutuan. Dari segi vaksin dan bantuan lain, adakah ia berdasarkan kaum, agama dan budaya?

“Jawapannya tidak. Ini sangat jelas,” katanya.

Sekiranya PN ditakdirkan memerintah sekali lagi, Lau percaya masyarakat bukan Islam akan terus menikmati hak mereka.

“Ini bukan cakap kosong. Ia telah terbukti. Semasa PN berkuasa, kita telah melakukannya,” katanya.

Di samping itu, kepimpinan PN akan sentiasa berbincang mengenai keputusan dasar yang penting, katanya.

Lau berkata, semasa kempen pemilihan kepimpinan Gerakan baru-baru ini, dia berkesempatan melawat Kelantan dan Terengganu dan mendapati masyarakat bukan Islam di sana terus bebas meminum arak dan memakan daging babi.

Lau berkata dia juga ada menyoal Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai larangan perjudian di negeri-negeri tersebut.

Menurut Lau, Hadi menjelaskan larangan berjudi di Kelantan itu dilaksanakan pada 1990-an hanya selepas mendapat persetujuan pelbagai pemimpin agama termasuk wakil daripada DAP.

“Apabila (Nik Aziz) bertanya sama ada Kelantan perlu mengharamkan judi, wakil pelbagai agama bersetuju. Malah Ketua Pemuda DAP ketika itu Anthony Loke… dan Liew Chin Tong, mereka juga bersetuju,” katanya.

Sehubungan itu, Lau berkata DAP tidak seharusnya menyerang Gerakan berhubung larangan perjudian yang dikasanakan di Perlis dan Kedah.

Mengenai kenyataan kontroversi Ketua PAS Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung masyarakat bukan Melayu, Lau berkata Sanusi berbuat demikian kerana provokasi DAP.

“Sanusi berkata demikian untuk menyerang DAP… Dalam PN, kita sangat jelas tentang perkara ini. Dia menyerang DAP (dan bukan bukan Melayu) kerana pilihan raya negeri sudah dekat,” katanya.

Pada 11 Julai, Sanusi mempertahankan dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa bukan Islam merupakan majoriti pemberi rasuah.

Ini menyaksikan beberapa laporan polis kemudiannya dibuat terhadap Sanusi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here