Ahli Amanah bantah calon Amanah DUN Paroi

0
132

SELEPAS calon PKR yang dinamakan untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan dikatakan ditolak penyokong di kawasan itu, situasi sama turut berlaku terhadap calon AMANAH di DUN Paroi.

BH Online melaporkan, berapa Ketua Cawangan AMANAH di DUN Paroi turut menyatakan tidak akan keluar mengundi sekiranya Ketua Wanita AMANAH Negeri Sembilan, Norwani Ahmat dikekalkan sebagai calon di situ.

Ketua Cawangan AMANAH Bandar Seremban Selatan, M Kalai Selvan, berkata mereka perlu bertegas mengenai hal berkenaan memandangkan kepimpinan parti dilihat seolah-olah tidak mendengar suara akar umbi.

“Kami memang tak dapat terima Norwani dan sekiranya bukan YB Taufek (penyandang DUN Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani) dipilih sebagai calon, saya tidak akan keluar mengundi.

“Kalau dia (Norwani) yang bertanding DUN Paroi, saya tak tahu macam mana dia nak menang,” katanya pada sidang media bantahan calon AMANAH DUN Paroi di Bandar Seremban Selatan, di sini, malam ini.

Kalai Selvan berkata, dia juga tidak kisah sekiranya dipecat daripada parti akibat tindakannya yang bersuara dan mengadakan sidang media berkenaan.

Tambahnya, usaha yang dilakukannya adalah jalan akhir bagi memastikan kepimpinan parti dapat membuat perubahan calon dalam tempoh berbaki empat hari sebelum penamaan calon pada 29 Julai depan.

Sementara itu, Ketua AMANAH Taman Sri Kasih, Mokhtar Hassan, berkata dia bersetuju dengan Kalai Selvan dan menjangkakan lebih ramai lagi yang akan mengambil tindakan protes.

“YB Taufek sudah dikenali di sini dan menunjukkan prestasi baik,” katanya.

Bagi pengundi di DUN Paroi, Omar Ahmad, pasti ada pihak yang tidak senang dengan sidang media yang diadakan ini, namun ia adalah tempat untuk menyatakan rasa kecewa mereka.

Media sebelum ini melaporkan penyandang kerusi DUN Ampangan dari PKR, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek percaya namanya tidak dicalonkan semula bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) disebabkan terdapat individu tertentu rasa diri tergugat.

Beliau dilaporkan mengakui tersentak apabila tidak dicalonkan semula untuk PRN kali ini bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here