Tiada luar biasa pada calon UMNO Pulau Pinang, bakal lenyap ditelan gelombang PN

0
171

DARIPADA seorang Menteri Kanan yang pernah memegang beberapa portfolio penting dalam Kerajaan Pusat, kini beralih bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Strategi UMNO Pulau Pinang mencalonkan Ketua Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bertanding di kerusi DUN Bertam itu boleh menjadi kelebihan kepada parti tersebut, atau tidak mustahil juga memakan diri.

Dari segi populariti, tiada siapa boleh menafikan Reezal Merican yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas cukup sinonim dengan kawasan tersebut termasuk di Bertam yang merupakan salah satu daripada DUN di bawah Parlimen berkenaan.

Namun, populariti itu tidak mampu menyelamatkan Reezal Merican daripada tsunami Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu yang mana beliau tewas kepada calon Pas, Dr. Siti Mastura Muhammad.

Bukan hanya Reezal Merican, tsunami PN di Pulau Pinang turut tidak mampu disekat calon Pakatan Harapan di Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang juga tewas di tangan calon Pas, Muhammad Fawwaz Mat Jan.

Sama ada di Kepala Batas atau Permatang Pauh, kedua-dua kerusi itu merupakan kerusi tradisi UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tidak pernah jatuh ke tangan parti lain dalam sejarah pilihan raya umum negara.

Namun, tsunami politik PN yang didorong oleh penolakan besar-besaran orang Melayu khususnya terhadap PH dan BN mencipta sejarah baharu dalam politik tanah air dengan terkuburnya dua parti dominan UMNO dan PKR di kawasan atau kubu kuat mereka sendiri di Pulau Pinang.

Dengan gelombang PN yang semakin kuat ketika ini terutamanya disebabkan banyaknya kepincangan serta kelemahan Kerajaan Perpaduan yang didokong PH dan BN di peringkat Pusat, tidak keterlaluan untuk diramalkan, Reezal Merican mungkin akan berdepan nasib serupa di kerusi DUN Bertam pada PRN akan datang.

Malah, jangkaan akan tewas itu bukan hanya terhadap beliau seorang, tetapi kesemua lima lagi calon UMNO juga dilihat tidak mampu mengekang penguasaan PN di kerusi yang akan ditandingi mereka.

Pencalonan Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Dr. Shaikh Hussein Mydin di kerusi DUN Sungai Dua misalnya, juga dinilai tidak mampu memberi kejutan. Ini kerana selain disifatkan sebagai orang luar memandangkan beliau ialah Ketua UMNO Bahagian Bagan, Shaik Hussein juga pernah tewas ketika mewakili BN di kerusi Parlimen Nibong Tebal pada PRU-14.

Satu-satunya calon penyandang daripada UMNO iaitu Norhafizah Othman juga dilihat berdepan kesukaran untuk mempertahankan kerusi DUN Permatang Berangan.

Ini kerana kerusi DUN Permatang Berangan sama seperti kerusi DUN Sungai Dua yang akan ditandingi Shaikh Hussein terletak di bawah Parlimen Tasek Gelugor yang mana pada PRU-15, calon PN iaitu Datuk Wan Saiful Wan Jan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang dengan majoriti cukup besar iaitu 12,252 undi.

Tiga lagi calon UMNO yang akan bertanding ialah Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, Rashidi Zinol di DUN Sungai Acheh; Mohd. Naim Salleh (DUN Penaga) dan Ahmad Zaki Shah Shah Headan (DUN Teluk Bahang). Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai calon-calon ini kerana ini merupakan kali pertama mereka turun ke gelanggang pilihan raya umum.

Dengan gelombang PN yang masih menebal dalam kalangan rakyat, didorong oleh kelemahan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan gabungan BN-PH sendiri di peringkat Pusat, maka kesemua calon UMNO yang akan bertanding di kerusi majoriti Melayu ini bakal berdepan cabaran cukup besar.

Apatah lagi dalam situasi ketika ini di mana penyokong dan ahli-ahli UMNO sendiri masih berasa kekok dan janggal dengan kerjasama parti itu dengan PH khususnya DAP, tidak mustahil calon-calon UMNO bukan hanya di Pulau Pinang malah di lima lagi negeri yang akan diadakan PRN, bakal berdepan dengan penolakan daripada penyokong setia mereka sendiri.

Sehingga kini, sebahagian besar penyokong setia UMNO khususnya di kawasan luar bandar tidak boleh menerima kerjasama UMNO dan PH khususnya DAP dalam Kerajaan Perpaduan meskipun pelbagai usaha dilakukan pemimpin UMNO untuk cuba menjernihkan serta memberi makna kepada kerjasama tersebut.

Stigma yang ditanam terhadap penyokong UMNO selama ini iaitu PH atau DAP adalah musuh UMNO terlalu menebal dan sukar dihapus dalam kalangan penyokong parti tersebut apatah lagi dalam tempoh hanya kira-kira lapan bulan selepas terbentuknya kerjasama antara kedua-dua parti terbabit.

Dengan realiti itu, tidak mustahil sebahagian penyokong setia UMNO memilih tidak akan mengambil bahagian dalam proses PRN di enam negeri kali ini sebagai tanda protes atau tidak bersetuju dengan keputusan pucuk pimpinan mereka memilih bekerjasama dengan PH dan DAP.

Atau mungkin lebih lantang, mereka menunjukkan rasa tidak puas hati itu dengan tindakan protes iaitu dengan bersama-sama menyertai majoriti pengundi Melayu khususnya dalam gelombang PN dan memberi sokongan kepada calon PN termasuk di Pulau Pinang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here