Enam warga Indonesia dituduh bunuh rakan senegara

0
180

ENAM lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegara mereka awal bulan ini.

Pusidin, Mohammad, Mohammad Sawi, Marhadi, Marco dan Ahmad yang berusia antara 19 hingga 46 tahun menggangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Reza Azhar Rezali.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Dul Safik di sebuah bilik di Jalan Kemuning Batu 8, Shah Alam sekitar jam 10 malam pada 2 Julai lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman manakala kesemua tertuduh yang bekerja sebagai buruh diwakili peguam Muhammad Hidhir Mustapa.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Sept bagi serahan laporan kimia dan forensik.

Media sebelum ini melaporkan mayat lelaki Indonesia berusia 47 tahun ditemukan dengan keadaan berbungkus plastik hitam dan terikat dalam but sebuah kereta pada 4 Julai lepas selepas orang awam menghidu bau busuk daripada kenderaan terbabit yang ditinggalkan tepi jalan di Taman Orkid, Seksyen 30, di sini.

BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here