Warisan akan saman 10 Adun keluar parti, kata Shafie

0
241

WARISAN dalam proses memfailkan saman terhadap 10 Adun Warisan yang meninggalkan parti itu kerana melanggar perjanjian yang ditandatangani mereka, kata Presidennya Datuk Seri Shafie Apdal.

Shafie berkata tindakan itu diambil susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan bekas Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin membayar bon berjumlah RM10 juta kepada PKR kerana meninggalkan parti itu pada 2020.

Sebelum menjadi calon dalam pilihan raya negeri Sabah pada 2020, semua Adun menandatangani surat perjanjian untuk mengosongkan kerusi sekiranya mereka keluar parti selepas menang dalam pilihan raya itu.

“Semua Adun ini melanggar syarat perjanjian apabila mereka bertindak keluar daripada parti. Justeru, pihak terlibat perlu membayar kos yang ditanggung oleh Warisan yang telah menanggung perbelanjaan mereka sebagai calon dan semasa berkempen.

“Malaysia mempunyai sistem demokrasi undang-undang dan kehakiman di negara ini tidak bersifat belah sebelah,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Sepuluh Adun Warisan yang keluar parti adalah Yusof Yacob (Sindumin), Mohamaddin Ketapi (Segama), Peter Anthony (Melalap), Juil Nuatim (Limbahau), Rina Jainal (Kukusan), Awang Ahmad Sah Sahari (Petagas), Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi), Ben Chong (Tanjung Kapor) dan George Hiew (Karamunting).

Shafie berkata, bagi kes Adun Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir yang telah diputuskan pada Jun tahun lalu, Warisan telah memfailkan rayuan bagi menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes tersebut.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan Warisan untuk mengarahkan kerusi DUN Sebatik dikosongkan susulan tindakan Hassan keluar daripada Warisan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here