Prabagaran tarik diri bertanding Timbalan Presiden Gerakan

0
143

TIMBALAN Speaker Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), V. Prabagaran membuat keputusan menarik diri daripada pertandingan jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu.

Perkara berkenaan diumumkan calon bagi jawatan Presiden Gerakan, Liang Teck Meng.

Menurut Teck Meng, keputusan Prabagaran disebabkan pihak tertentu mahu membunuh demokrasi dalam parti.

“Ia adalah hari yang menyedihkan bagi Gerakan. Pemimpin tertentu mahu membunuh demokrasi dalam Gerakan.

“Kenapa mereka takut dengan pemilihan parti? Mengapa tidak bertanding secara adil dan biarkan perwakilan memilih pemimpin?

“Mengapa berusaha keras untuk tekan rakan gandingan saya supaya berhenti di separuh jalan,” soalnya dalam satu kenyataan.

Teck Meng tertanya-tanya apakah pihak lawannya mahu sembunyikan sesuatu dengan memastikan beliau tewas dalam pertandingan itu.

“…Adakah parti ini sangat bergantung kepada panglima perang sehingga semangat demokrasi sedang dibunuh. Saya sedih dan saya kecewa,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan Teck Meng yang akan merebut jawatan nombor satu parti itu akan bergandingan dengan Prabagaran yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Tiga calon lain akan merebut jawatan Presiden Gerakan termasuk penyandangnya, Datuk Dr. Dominic Lau yang akan berganding dengan Timbalannya, Oh Toh Keong.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Teck Meng berkata, beliau akan terus bertanding walaupun gandingannya menarik diri.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan rundingan bagi memastikan pertarungan satu lawan satu menentang Teck Meng gagal membuahkan hasil.

Teck Meng dipilih sebagai Presiden Gerakan pada 2018 dan akan mempertahankan gelarannya buat kali pertama.

Kemenangan bagi jawatan itu penting kerana Presiden mempunyai kuasa untuk menentukan calon daripada parti itu bagi pilihan raya enam negeri akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here