Jenazah Pahamin Rajab dikebumi di London

0
161

JENAZAH bekas Pengerusi AirAsia Berhad, Datuk Pahamin Abdul Rajab akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam di kota London, Britain.

Menurut anaknya, Armin Baniaz Pahamin, keputusan untuk mengebumikan bapanya di sana dicapai oleh seluruh ahli keluarganya.

“Keluarga memutuskan untuk kebumi jenazah ayahanda kami di London dan untuk itu kami sekeluarga akan berlepas ke London untuk urus pengebumian ayah,” kata Armin Baniaz dalam rakaman video yang dikongsi di akaun media sosial abang iparnya yang juga pelakon Azhar Sulaiman.

Dalam video berkenaan, Armin Baniaz berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mengirim ucapan takziah serta mendoakan roh ayahnya.

Armin Baniaz turut memohon maaf bagi kepada mana-mana pihak yang mungkin terguris sekiranya Allahyarham ayahnya ada melakukan kesilapan atau tersalah cakap semasa hayatnya.

“Sekiranya ayah ada melakukan kesalahan, kami minta maaf dan sekiranya ayah ada berhutang dengan anda, bolehlah berhubung dengan salah seorang daripada ahli keluarga kami,” kata Armin Baniaz lagi.

Allahyarham Pahamin yang berusia 77 tahun menghembuskan nafas terakhir dalam pesawat ketika dalam perjalanan ke kota London pada Sabtu lalu.

Kata Armin Baniaz, sebelum itu, ayahnya pengsan ketika berada dalam bilik air pesawat.

“Krew dan doktor-doktor yang ada dalam pesawat telah cuba membantu menyelamatkan ayahanda lebih sejam, namun, sudah sampai masanya ayahanda saya (meninggal dunia) dan berikutan itu juruterbang telah mendapat keizinan untuk mendarat lebih awal di Heathrow, London.

“(Justeru), kami putuskan untuk kebumikan ayahanda di London dan kami sekeluarga akan berlepas ke sana untuk urusan pengebumian,”ujar Armin Baniaz lagi.

Sehari sebelum berlepas ke London, Allahyarham Pahamin kembali dari Tanah Suci selepas menunaikan ibadah haji di sana.

“Ayah balik daripada haji pada hari Jumaat… kami sekeluarga sempat makan malam bersama dia dan pada pagi keesokan harinya (hari Sabtu) pukul 6 pagi dia bertolak ke London,” jelas Armin Baniaz lapor Astro AWANI.

Dalam masa sama, Armin Baniaz berjanji akan memaklumkan perkembangan semasa urusan pengebumian Allahyarham ayahnya dari semasa ke semasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here