‘’Itu bukan banglo Sanusi, pemfitnah bekerja keras menjelang PRN’’ – Pejabat MB Kedah

0
158

PEJABAT MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial sejak semalam kononnya beliau membina sebuah banglo bernilai jutaan ringgit di Sik. 

Setiausaha Akhbarnya Muhammad Mat Hakim berkata,  dakwaan tersebut langsung tidak benar dan semata-mata fitnah oleh golongan pendengki dalam media sosial. 

Berikutan kenyataan penuh Pejabat Menteri Kedah berhubung tuduhan tersebut:

Foto sebuah banglo di Sik lengkap dengan imej google map yang cuba digambarkan ada kaitan dengan Menteri Besar Kedah, YAB Datuk Seri Haji Muhammad Sanusi Md. Nor hingga timbul tanggapan kononnya banglo itu milik beliau sedang ditularkan oleh para pemfitnah dan pendengki di serata media sosial.

Ia tidak benar dan semata-mata fitnah.  Pemfitnah-pemfitnah ini bekerja keras menjelang PRN untuk mempengaruhi orang ramai percaya MB Kedah kini hidup kaya raya hingga mampu membina rumah seperti itu.

Rumah itu bukan milik beliau. Tidak ada wang Datuk Seri Sanusi diguna untuk bina rumah itu walau satu sen. Ia milik orang lain yang dibina hasil titik peluhnya sendiri setelah bekerja keras selama puluhan tahun.  Selama ini, pemilik rumah itu kumpul wang bekerja sebagai penyelam di dasar laut, terpaksa tinggalkan isteri dan anak-anak hingga tiga atau empat bulan sekali baru boleh balik ke rumah.Bukan sekali dua tetapi banyak kali ketika isterinya bertarung nyawa melahirkan anak,  si suami pula sedang bertarung dengan yu dan jerung di dasar laut. 

Mereka suami isteri, termasuk anak-anak telah banyak berkorban selama ini.   Amat menyedihkan tatkala sampai masa untuk mereka mengecap sedikit kegembiraan dapat masuk rumah yang baru, ada pula orang yang dengki dan sakit hati hingga tergamak menjaja fitnah konon rumah itu bukan milik mereka. Apa salah mereka kepada kalian?  Kumpul duit setelah berpuluh tahun kerja mempertaruhkan nyawa dalam keadaan begitu bahaya untuk memberikan sedikit kegembiraan kepada ahli keluarga, adakah salah?

Pemilik rumah itu bukan orang politik. Dia tidak ada kena mengena dengan politik atau pilihan raya. Mengapa jadikan dia mangsa seolah-olah rumah itu dibina dengan duit haram sedangkan dia telah lama bekerja keras mencari rezeki hasil titik peluhnya sendiri? Apa salah pemilik rumah itu kepada kalian hingga tidak berkira kira langsung menyebar fitnah sedangkan kalin tidak kenal pun siapa pemilik rumah itu?

Adakah salah juga dia ada pertalian darah dengan Datuk Seri Sanusi? Adakah kerana pemilik rumah itu abang kepada MB Kedah, dia hilang hak untuk bina rumah besar walaupun ada duit dan mampu untuk bina rumah seperti itu? Mudah sungguh kalian buat persepsi sedangkan persepsi bukan realiti. Antara kalian ada yang tidak pernah  lalu malah tidak tahu pun rumah itu di mana.  Orang Sik rata ratanya tahu rumah itu rumah Budin, bukan rumah Sanusi.

Menurut Datuk Seri Sanusi, sebagai adik, beliau tahu abangnya seorang yang berhati cekal, kuat bekerja, berdisiplin dan mempunyai kesanggupan yang sangat tinggi untuk meningkatkan taraf hidup. Dia juga bijak menguruskan wang dan membeli harta. Datuk Seri Sanusi  sendiri mengakui kagum dengan pengorbanan dan kesanggupan abangnya berusaha mencari kesenangan untuk keluarga. 

Hentikanlah fitnah seperti ini kerana ia hanya membawa dosa. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here