Demi keadilan…ini masa sesuai semakan kehakiman kes liwat – Fadli

0
160

Oleh AHMAD FADLI SHAARI

AHLI Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari hari ini mencadangkan sekarang merupakan masa yang sesuai untuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani mengusahakan semakan semula terhadap sabitan kes rasuah dan liwat yang pernah dikenakan ke atas Anwar.

Katanya, ia berikutan kenyataan Anwar bahawa terdapat hakim-hakim yang sebelum ini membuat keputusan yang menyimpang dari unsur-unsur keadilan terutama melibat Ahli politik.

‘’Adalah kurang jelas hakim mana yang dirujuk oleh Perdana Menteri yang dikatakan membuat keputusan menyimpang dari lunas-lunas keadilan. Namun, menyedari bahawa beliau pernah disabitkan dengan kesalahan rasuah dan liwat sebelum ini, dapatlah dibuat kesimpulan mudah bahawa kemungkinan besar proses perbicaraan dan penghakiman itulah yang dirujuk oleh beliau,’’ katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keadilan wajib ditegakkan semula jika benar ada hakim yang bertindak di luar lunas-lunas keadilan. Adalah tidak adil untuk membuat kenyataan secara umum sehingga boleh mendatangkan salah faham terhadap bidang kehakiman dalam negara kita.

Berikut kenyataan penuh Ahmad Fadhli :

Saya membaca kenyataan YAB Perdana Menteri yang memuji Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat (yang pernah dimohon oleh Datuk Seri Najib Razak agar menarik diri dari mengadili kesnya) yang disifatkan berani dalam mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap badan kehakiman.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa terdapat hakim-hakim yang sebelum ini membuat keputusan yang menyimpang dari unsur-unsur keadilan.

“Pelanggaran prinsip pengasingan kuasa secara terang-terangan oleh mereka yang memegang tampuk kuasa tidak lama dahulu, telah menyaksikan serangan yang kejam terhadap badan kehakiman. Ia memuncak dengan kemerosotan proses kehakiman itu sendiri, terutamanya kes melibatkan ahli politik yang telah menimbulkan ancaman serius kepada kuasa yang ada. Akibatnya, ada hakim-hakim tertentu membuat keputusan kehakiman yang benar-benar menyimpang daripada unsur-unsur keadilan dan cetusan hati nurani yang baik,” katanya.

Ini merupakan petikan kata-kata beliau seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian di pautan : https://www.sinarharian.com.my/article/267504/berita/nasional/anwar-puji-tengku-maimun

Adalah kurang jelas hakim mana yang dirujuk oleh Perdana Menteri yang dikatakan membuat keputusan menyimpang dari lunas-lunas keadilan.  Namun, menyedari bahawa beliau pernah disabitkan dengan kesalahan rasuah dan liwat sebelum ini, dapatlah dibuat kesimpulan mudah bahawa kemungkinan besar proses perbicaraan dan penghakiman itulah yang dirujuk oleh beliau.

Saya sebenarnya bimbang dengan kenyataan beliau ini sebagai Perdana Menteri. Adakah selepas ini ramai lagi penjenayah yang akan mempertikaikan hakim-hakim dan bidang kehakiman dengan beralasan bahawa mereka sebenarnya dijatuhkan hukuman oleh hakim-hakim yang tidak adil?

Saya ingin mencadangkan agar sekarang merupakan masa yang sesuai untuk Perdana Menteri dan kerajaan Madani mengusahakan semakan semula terhadap sabitan kes rasuah dan liwat yang pernah dikenakan terhadap Perdana Menteri sebelum ini. 

Perlu diingatkan bahawa pengampunan Yang di-Pertuan Agong ke atas beliau tidak pernah membawa maksud bahawa sabitan terhadap beliau diketepikan.

 Inilah yang ditegaskan oleh Mahkamah Persekutuan melalui panel tiga hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 10 Januari 2023 bahawa dokumen Lembaga Pengampunan tidak merujuk kepada maksud bahawa sabitan terhadap Anwar bagi kesalahan liwat, diketepikan. 

Panel tersebut membuat keputusan ketika menolak permohonan peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz untuk mencabar kesahan pengampunan penuh yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan nasihat Lembaga Pengampunan berhubung kes liwat melibatkan bekas pembantu peribadinya. 

Keadilan wajib ditegakkan semula jika benar ada hakim yang bertindak di luar lunas-lunas keadilan. Adalah tidak adil untuk membuat kenyataan secara umum sehingga boleh mendatangkan salah faham terhadap bidang kehakiman dalam negara kita.

Jika kerajaan pernah membayar ex-gratia sebanyak RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohd Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim kanan pada tahun 2008 dengan maksud bahawa pemecatan atau perbehentian mereka pada tahun 1989 adalah ‘tidak sah’, maka tiada sebab keadilan tidak boleh diberikan semula kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan atas sifatnya sebagai Perdana Menteri tetapi atas sifatnya sebagai manusia, seorang rakyat Malaysia.

Jika tidak, seluruh institusi kehakiman sebenarnya sedang tercemar dengan ‘pujian berlapik’ Perdana Menteri terhadap Ketua Hakim Negara itu.   Saya mohon mencadang.

*Ahmad Fadhli Shaari adalah  Ahli Parlimen Pasir Mas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here