‘MCA tak tanding PRN untuk kendurkan ketegangan kaum’

0
86

NAIB Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, parti itu tidak bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) bulan depan bagi mengendurkan ketegangan kaum.

Beliau juga membangkitkan rasa tidak senang dengan dakwaan serangan politik dengan memomokkan dan menakutkan pengundi menggunakan isu perkauman.

Serangan itu, katanya, sama seperti propaganda DAP sebelum ini bahawa UMNO parti perkauman yang menyebabkan masyarakat Cina membenci UMNO.

“MCA percaya polarisasi ini akan berterusan dan menjadi semakin hangat lebih-lebih lagi apabila sentimen perkauman dan keagamaan dieksploitasikan untuk menimbulkan kebencian semata-mata untuk mengaut undi dalam PRN enam negeri nanti,” katanya, lapor Malaysiakini.

Jsuteru katanya, MCA berkorban demi untuk kembali menjadi jambatan perhubungan etnik walaupun dibenci oleh ‘penyokong Malaysian Malaysia’.

“Keputusan MCA untuk tidak terlibat dalam persengketaan yang menjadikan sentimen perkauman dan keagamaan sebagai senjata adalah untuk merenggangkan ketegangan perkauman dan keagamaan yang semakin ketara dan mengancam ketenteraman negara,” katanya.

MCA dan MIC, kelmarin memutuskan tidak menyertai pilihan raya negeri tetapi akan terus memainkan peranan sebagai parti komponen BN, yang kini bersekutu dengan Pakatan Harapan (PN).

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan tindakan itu sebagai boikot kerana jentera parti-parti itu turut digerakkan membantu calon BN di kesemua enam negeri.

Perikatan Nasional (PN) mengaitkan tindakan itu dengan pembahagian kerusi pilihan raya dan menasihatkan parti Cina dan India itu meninggalkan BN.

Sementara itu, Ti berkata, MCA tidak setuju dengan penggunaan ‘perpaduan’ semata-mata untuk mendapatkan undi dan dalam masa yang sama menganiayai mana-mana pihak sebagai musuh dan perlu dibenci.

“MCA menyarankan bahawa kita adalah satu keluarga Malaysia dan polemik agama dan etnik haruslah dihentikan dengan serta-merta.

“Tumpuan sepatutnya diberi pada pembinaan negara dan bukannya pembinasaan negara. Ekonomi, nilai mata wang, kos sara hidup dan sebagainya semakin merosot dan rakyat semakin dibelenggu.

“Sama-sama kita sedar diri dan bertaubatlah!

“Lebih-lebih pagi penyokong Pas dan DAP kerana BN tidak dapat lagi memainkan peranan persahabatan dan jambatan antara kaum dan etnik secara efektif seperti dulunya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here