Jika ikhlas sertai PN, Gerakan sedia korban kerusi untuk MCA, MIC

0
191

GERAKAN sedia mengorbankan sebahagian daripada 36 kerusinya kepada MCA dan MIC jika parti itu ikhlas menyertai Perikatan Nasional (PN) menentang Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) pada PRN bulan depan.

Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong, berkata pihaknya sedia kembali ke meja rundingan jika dua parti berkenaan menerima pelawaan Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Sanusi Md Nor untuk bertanding bawah simbol gabungan itu di kerusi campuran.

Menurut Mak, walaupun pengagihan 245 kerusi DUN di enam negeri selesai antara komponen PN “Gerakan tiada masalah bertanding sedikit kerusi kerana tujuan utama adalah memenangkan calon kita.”

Mak percaya Sanusi ikhlas membuat pelawaan itu dan Gerakan menyambut baik saranan berkenaan, malah sedia mengorbankan kerusi ditetapkan untuknya di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Cadangan itu baik, walaupun telah tetapkan tetapi kalau MCA dan MIC, keluar daripada BN masuk PN, kita boleh bincang balik bersama,” katanya kepada FMT.

“PN ikhlas (tawarkan) dan jika mereka (MCA MIC) datang, kita akan tawarkan (kerusi Gerakan). Saya setuju dengan cadangan tersebut,” katanya mengulas tawaran Sanusi kepada komponen BN itu bertanding di kerusi campuran pada PRN enam negeri.

Sanusi juga tidak menolak keputusan MCA dan MIC tidak bertanding PRN sebagai isyarat bantahan terhadap Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai pengerusi BN.

PRN akan diadakan pada 12 Ogos ini di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Bagaimanapun, pendirian Gerakan itu berbeza dengan nada Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang berkata rundingan kerusi dengan Pejuang tidak boleh dilaksanakan kerana agihannya dengan parti komponen PN telah selesai.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, sebaiknya Pejuang diketuai bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir menyokong calon PN jika tidak mahu undi Melayu berpecah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here