PN minta kerajaan negeri kekalkan lokasi Uptown Pahlawan Walk

0
156

KERAJAAN negeri diminta mengekalkan lokasi Uptown Pahlawan Walk di Plaza Mahkota di sini, memandangkan majoriti peniaga terlibat sudah selesa dan yakin terhadap potensi lokasi berkenaan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, kerajaan negeri seharusnya memikirkan soal kebajikan peniaga yang sudah beroperasi sejak 13 tahun lalu di situ.

Menurutnya, dalam tempoh tersebut mereka tidak pernah menimbulkan sebarang masalah, sebaliknya kawasan itu kembali ceria apabila menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Saya difahamkan isu peniaga akan dipindahkan timbul apabila dalam satu lawatan di sini minggu lalu, mereka diberitahu tempat mereka berniaga ini akan dipindahkan tidak lama lagi.

“Tiada sebab peniaga ini perlu dipindahkan ke lokasi baharu, walaupun kerajaan negeri dalam usaha memperkenalkan zon bebas kenderaan tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan peniaga terlibat di Semabok di sini, semalam.

Tambah Mohd. Yadzil, walaupun Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin menegaskan bahawa tiada notis dikeluarkan, sebaliknya ia mengesahkan peniaga di situ berpotensi untuk dipindahkan.

Beliau turut mempertikaikan tiga kenyataan berbeza daripada Rais; Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

“Ab. Rauf cakap peniaga di Uptown Pahlawan Walk akan dipindahkan untuk menambah baik tetapi Rais dan MBMB pula cakap tidak akan ganggu mereka di sana.

“Jika benar mereka akan dipindahkan, adakah satu jaminan daripada kerajaan negeri bahawa tempat tersebut akan memberi hasil yang baik?,” soalnya lapor Utusan Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here