Grab Uber bergabung: Mahkamah batal denda

0
166

PENGENDALI e-panggilan Grab Holdings Inc berjaya membatalkan cadangan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk mendenda syarikat itu RM86.8 juta kerana menyalahgunakan kedudukannya yang dominan.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa keputusan MyCC untuk mencadangkan denda itu dicemari dengan prosedur yang tidak sesuai dan melanggar keadilan asasi.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh juga berkata Mahkamah Rayuan juga memberi penjelasan bahawa cadangan tindakan – seperti kes Grab ini – boleh dicabar di mahkamah menerusi semakan kehakiman.

“Mahkamah juga memutuskan tiada keperluan untuk Grab menghabiskan proses inkuiri domestik (dengan memfailkan rayuan kepada Tribunal Rayuan Persaingan MyCC).

“Tribunal tiada bidang kuasa untuk menangani cadangan itu,” kata Farid, lapor FMT.

Mahkamah juga mengarahkan MyCC untuk membayar kos RM20,000 kepada Grab.

MyCC pada 3 Okt 2019 mencadangkan untuk mendenda Grab RM86.8 juta kerana melanggar undang-undang anti-monopoli apabila bergabung dengan Uber pada tahun sebelumnya.

Pergabungan itu menyaksikan Grab menjadi pemain dominan dalam industri e-panggilan tempatan.

Suruhanjaya itu menyatakan Grab memasukan syarat larangan pada kontrak yang melarang pemandunya daripada mempromosikan perkhidmatan e-panggilan lain pada kereta mereka.

Grab kemudiannya memohon semakan kehakiman untuk mencabar cadangan denda oleh MyCC itu.

Grab diwakili peguam Lim Yvonne dan Shanthi Kandiah, manakala Kwan Will Sen dan Muayyad Khairulmaini mewakili MyCC.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here