Kerajaan negeri Kedah mula diserang secara gelap menjelang PRN – Sanusi

0
202

MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, serangan terhadap kerajaan negeri Kedah sudah pun dimulakan secara ‘gelap’ oleh pihak tertentu walaupun hari penamaan calon yang menjadi tanda bermulanya tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN), baru saja ditetapkan pada 29 Julai depan.

Menurutnya, serangan itu cukup rancak dan dibuat secara bertali arus melibatkan pelbagai fitnah serta cerita tidak benar yang direka-reka.

Sebagai contoh katanya, terdapat khabar mengatakan beliau bergaduh dengan salah seorang exco kerajaan negeri iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman.

“Kebanyakan tuduhan ditimbulkan itu dibuat melalui media sosial secara gelap iaitu dengan menggunakan akaun palsu dan sebagainya. Mereka kata saya bergaduh dengan Dr. Hayati sedangkan perkara itu langsung tak benar.

“Selain itu, ada juga dakwaan timbul semalam kononnya saya meninggalkan satu mesyuarat parti kerana Pas hendak lantik Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi Menteri Besar. Saya nak maklumkan, kelmarin langsung tak ada mesyuarat parti dengan mesyuarat terakhir adalah pada minggu pertama Jun dan yang seterusnya, akan berlangsung 8 Julai nanti di Terengganu.

“Lagi pun Mukhriz bukan anggota Perikatan Nasional (PN) malah partinya tidak diterima sertai PN, jadi tak masuk akal cerita-cerita sebegitu. Saya bukan sebab melatah tetapi perkara ini perlu dimaklumkan kerana banyaknya timbul fitnah disebabkan kedatangan PRN sedangkan sebelum ini, tiada cerita-cerita sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

Mengulas lanjut Sanusi berkata, tindakan sedemikian amat bertentangan dengan amalan madani yang sering dilaung-laungkan oleh pihak tertentu bagi diterapkan dalam negara ini.

“Saya harap apabila kempen dijalankan nanti, ia dapat dilaksanakan secara sihat serta memaparkan fakta-fakta yang benar. Kritikan dibuat perlulah berasas kerana kalau kita mulakan kempen dengan fitnah, propaganda serta adu domba, itu akan mendatangkan suasana politik tidak sihat.

“Madani ini maksudnya tamadun dan orang bertamadun hanya bercakap perkara benar untuk membawa manusia ke depan, bukan heret manusia lain ke belakang. Jadi benda-benda tak benar serta tidak bertamadun tak patut dibawa dalam kempen pilihan raya,” katanya lapor Warta Rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here