PAS Dakwa DAP guna isu 3R,gesa kerajaan bertindak adil

0
176

PAS menuntut kerajaan mengambil tindakan “tegas dan adil” ke atas DAP selepas mendakwa parti itu memainkan sentimen 3R (agama, perkauman dan raja-raja) menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin berkata DAP begitu terdesak sehingga bertindak menjadi batu api dengan menyentuh isu 3R dalam kenyataan dibuat mereka.

Sebagai contoh PAS mendakwa DAP menyebarkan sentimen Islamofobia dengan kenyataan dibuat naib pengerusi kebangsaan parti itu, Nga Kor Ming.

“Kenyataan Nga Kor Ming terhadap tindakan MPKB (Majlis Perbandaran Kota Bharu) dalam isu pemakaian seluar pendek yang sengaja dijadikan isu bagi menyebarkan islamofobia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia merujuk kepada kompaun yang dikenakan pihak berkuasa tempatan Kelantan ke atas wanita bukan Islam yang berseluar pendek di premis perniagaannya baru-baru ini.

Khairil Nizam juga berkata DAP perlu dikenakan tindakan tegas kerana menggelar BN – yang dipimpin oleh orang Melayu – sebagai sebuah parti korup.

Bekas setiausaha agung parti itu juga, katanya, mahu menakut-nakutkan orang awam serta bertindak menyanggahi perlembagaan apabila mendakwa PN mahu memadamkan Pulau Pinang dari peta Malaysia.

“Justeru, PAS menggesa Kementerian Komunikasi dan Digital untuk bersikap adil dalam mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk DAP yang telah menggunakan isu 3R ini secara terang-terangan sebagai modal politik.

“Rakyat harus difahamkan bahawa politik ini bertujuan untuk membangkitkan isu rakyat serta mencari penyelesaian, bukannya mewujudkan persengketaan serta kebencian seperti yang dilakukan DAP,” katanya yang juga ahli parlimen Jerantut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here