Jangan berdendam dengan T20 – Ka Siong

0
163

PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengingatkan Kerajaan Perpaduan agar tidak berdendam dengan golongan berpendapatan tinggi atau T20.

Menurutnya, keputusan untuk tidak lagi memberikan subsidi elektrik kepada golongan itu hanya mendatangkan masalah yang lebih kepada rakyat.

“Kita jangan berdendam dengan kumpulan ini, (kerana) mereka juga penyumbang kepada ekonomi. Merekalah yang akan mencipta peluang pekerjaan kepada pekerja.

“Kita kena faham, ini teori asas ekonomi. (Sepatutnya kerajaan kena) anggap kumpulan ini (T20) penting.

“Jangan kita mengenakan kenaikan (tarif subsidi elektrik) secara mendadak, apabila mereka sesak nafas orang lain akan terkesan khususnya pekerja,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan golongan T20 tidak akan lagi menerima sebarang subsidi sama ada untuk penggunaan elektrik mahupun untuk menunaikan haji di Makkah.

Jelasnya, sistem penyelarasan data iaitu Pangkalan Data Utama (PADU) yang dijangka siap menjelang hujung tahun ini akan menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan yang sepatutnya layak.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, tindakan kerajaan menghukum golongan itu hanya mendatangkan kesengsaraan kepada rakyat memandangkan rata-rata majikan terdiri daripada kumpulan T20.

Katanya, tidak mustahil disebabkan ketiadaan subsidi berkenaan majikan akan membuat pilihan untuk memberhentikan pekerja atau menaikkan harga produk mereka.

“Kalau pekerja telah dipecat, siapa yang menanggung kesengsaraan, siapa hendak bela? Ini hanya akan menyebabkan masalah berlarutan.

“Sebab itu saya kata, dalam kes ini, tanyalah pihak industri. Tengoklah mereka yang meniaga kecil. Apa kesan (apabila ketiadaan subsidi elektrik),” katanya, lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here