Tun M akan bertemu Muhyiddin selepas Aidiladha bincang Proklamasi Orang Melayu

0
125

TUN Dr Mahathir Mohamad mengesahkan akan bertemu dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Aidiladha untuk membincangkan kerjasama menerusi Proklamasi Orang Melayu.

Bekas perdana menteri itu berkata pertemuan itu tidak dapat diadakan sebelum Hari Raya Haji yang disambut esok kerana kesuntukan masa.

“Saya akan jumpa dia untuk menerangkan mengenai Proklamasi Orang Melayu,” katanya pada sidang media.

Beliau sekali lagi menegaskan proklamasi itu bukan untuk menyokong mana-mana pihak tetapi mahu menumpukan usaha membantu orang Melayu.

Semalam, media melaporkan Muhyiddin yang juga presiden Bersatu bersetuju bertemu dengan Mahathir berkait dengan Proklamasi Orang Melayu, diasaskan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu pada Mac lalu.

Mahathir sebelum ini berkata, proklamasi itu bertujuan menyatukan orang Melayu melangkaui garis politik. Ia menarik sokongan dan ditandatangani beberapa pemimpin parti pembangkang termasuk Presiden PAS Hadi Awang dan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu atas kapasiti persendirian.

Awal bulan ini, Mahathir dilaporkan berkata sedia bekerjasama dengan Muhyiddin sekali lagi, tiga tahun selepas hubungan mereka renggang susulan “Langkah Sheraton”, menyaksikan pentadbiran beliau ketika itu tumbang dan digantikan kerajaan PN pimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu.

Dalam pada itu, Mahathir menyindir Umno yang mahu menganjurkan Kongres Ekonomi Melayu untuk menyaingi proklamasi dianjurkannya.

“Sekarang baru teringat nak buat kongres, selama ini cuma teringat nak buat duit,” katanya, lapor FMT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here