Kerajaan sementara ‘caretaker’ perlu henti umum projek baharu – BERSIH

0
240

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa kerajaan negeri yang bakal atau sudah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, berhenti daripada membuat keputusan penting atau mengumumkan sebarang projek baharu.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam kenyataannya, mengingatkan kerajaan negeri berkenaan yang terdiri daripada Kelantan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Terengganu, kini hanya cuma berperanan sebagai kerajaan sementara selepas pembubaran DUN.

“Disebabkan fungsinya untuk memastikan operasi asas berjalan sehingga pembentukan kerajaan baharu, kerajaan sementara ini perlu berhenti daripada membuat keputusan penting atau mengumumkan sebarang projek baharu.

“Sebarang keputusan atau pengumuman baharu secara demokratiknya adalah salah serta meragukan dari sudut undang-undang kerana mereka tidak mempunyai kuasa selain penjaga sementara,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Jawatankuasa Pemandu BERSIH berkata, pejabat setiausaha kerajaan negeri perlu mengeluarkan satu garis panduan kerajaan sementara sebagaimana yang dilakukan di peringkat Persekutuan.

Katanya, garis panduan tersebut antara lain menyatakan kerajaan ‘caretaker’ (sementara) tidak boleh membuat apa-apa keputusan dan dasar yang boleh mengikat, atau mengambil apa-apa tindakan yang boleh memberi implikasi kewangan dan membebankan kerajaan baharu yang bakal dibentuk, melainkan tindakan tersebut perlu dilaksanakan demi kepentingan awam.

Selain itu, apa-apa projek kerajaan negeri yang bakal atau telah terbubar ini mahukan hanya boleh dijanjikan di dalam manifesto mereka dan tidak boleh diumumkan sebagai satu ketetapan.

BERSIH turut menggesa rakyat Malaysia untuk memantau dan mendesak semua kerajaan negeri yang terbabit dengan pembubaran DUN menghormati asas demokrasi.

“Sekiranya salah laku dibenarkan kerana bias politik, maka semua parti akan berlumba-lumba ke arah keburukan dengan membentur undang-undang untuk memenangi pilihan raya dengan mengorbankan kepentingan awam,” katanya lapor BH.

Setakat ini, beberapa negeri telah telah mengumumkan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri. Ini termasuk Kelantan yang mengumumkan perkara itu pada 22 Jun lalu, manakala Selangor mengesahkan perkara sama sehari selepas itu.

Sementara itu, Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang bakal mengumumkan pembubaran DUN esok, manakala kerajaan Negeri Sembilan akan membubarkan DUN pada 30 Jun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here