261,000 kg baja bernilai lebih RM100,000 dirampas disyaki cuba diseleweng

0
136

Oleh RIZQI ZABIDI

SEJUMLAH 261,060 kilogram (kg) baja bernilai RM104,424 dirampas dari sebuah gudang di Jalan Padang Hang, Alor Setar, Kedah semalam kerana disyaki cuba diseleweng pihak tertentu bagi meraih keuntungan mudah.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sarah Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya menerima serahan kes tersebut daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi yang membuat serbuan di lokasi tersebut kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Katanya, seramai lapan individu terdiri daripada enam warganegara tempatan dan dua warga asing berusia antara 18 hingga 57 tahun, ditahan bagi tujuan siasatan lanjut.

“Hasil soal siasat mendapati premis berkenaan tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan berkaitan pemilikan barang kawalan berkenaan.

“Susulan itu sebanyak 261,060 kg baja, sebuah lori, sebuah mesin jahit, sebuah alat timbang, empat jentera pengangkut, dan satu ikatan plastik baja yang disyaki digunakan untuk tujuan penyelewengan barang kawalan itu turut dirampas dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM269,174,” katanya.

Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua, individu berkenaan boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak lebih RM2 juta untuk kesalahan pertama dan RM5 juta untuk pertuduhan kedua,” katanya.

Menurutnya, pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang-barang kawalan sedemikian.

“Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan
1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).

“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613, mereka yang terlibat boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan tersebut dilakukan, atau RM5 juta, bergantung mana yang lebih tinggi,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here