Perubahan kerajaan: Segala-galanya boleh berlaku – Muhyiddin

0
162

TAN Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan akan berlaku perubahan kerajaan pusat sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi semua Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri.

Namun, Pengerusi PN itu enggan mengulas bagaimana perubahan kerajaan akan berlaku tetapi menegaskan, ia sedikit sebanyak mampu menggugat kedudukan kerajaan sedia ada jika PN menang di semua enam buah negeri tersebut.

“Disebutkan tadi enam buah negeri berhadapan dengan PRN, ini bukan jumlah yang kecil, kalau enam buah negeri menghadapi pilihan raya dan enam-enam negeri dimenangi dan dikuasai oleh Perikatan Nasional, sudah tentunya yang duduk di Putrajaya akan goyang.

“Agaknya sebab itu yang Azmin sebutkan tadi bulan 8. Mahu doakan bulan 8 suapaya apa yang disebutkan tadi akan dimakbulkan oleh Allah,terbentuk kerajaan yang baharu.

“Soal macam mana saya tak nak sebutkan di sini, orang Indonesia kata segala-galanya bisa (boleh) berlaku,” katanya dalam Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baharu, Kita Bangkit di Shah Alam pada Sabtu malam.

Pada Khamis, PN mengesahkan akan bertanding di kesemua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN kali ini meliputi Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Sebelum itu dalam ceramah sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dijatuhkan sebaik sahaja gabungan tersebut menang dalam PRN Selangor lapor Astro AWANI.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here