UMNO hanya menumpang PH di Selangor- Noh

0
150

BEKAS Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyifatkan UMNO telah hilang kekuatannya di Selangor dan kini hanya menjadi penumpang kepada sekutu barunya, Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, kini tiba waktunya untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bangkit di Selangor.

“Sebagai bekas pengerusi BN Selangor, saya kecewa dengan (nasib) beberapa kerusi UMNO pada PRN (pilhan raya negeri) akan datang.

“Kalau UMNO jadi penumpang, mana kehebatan BN (Barisan Nasional)? Justeru, hari ini PN (Perikatan Nasional) mesti bangkit menggantikan BN,” katanya ketika berucap dalam Jelajah Selangor Baru – Kita Bangkit di Shah Alam malam tadi.

Turut hadir adalah Pengerusi PN Selangor Azmin Ali yang mengalu-alukan sokongan yang disuarakan Noh.

Noh yang dipecat UMNO Januari lalu percaya, dengan semangat PN dan kerjasama yang ditonjolkan antara parti komponen gabungan itu, PN akan menang PRN akan datang.

Sementara itu, Azmin berkata, pihaknya menyambut sokongan Noh walaupun bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu pernah menyerangnya ketika beliau menjadi Menteri Besar Selangor.

“Masa saya jadi Menteri Besar, dia (Noh) hantar Jamal. Ingat Jamal,” kata Azmin merujuk bekas Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos dikenali dengan gimik politiknya yang mengundang perhatian.

Azmin antaranya mengimbas kembali tindakan Jamal yang pernah mendakwanya gagal menguruskan isu bekalan air Selangor dan muncul di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dengan hanya bertuala pada 2016.

“Rupa-rupanya di belakang Jamal, ada Noh. Tetapi sekarang dia sudah insaf. Kami dulu di zaman jahiliah. Dia dalam UMNO, saya dalam PKR (Parti Keadilan Rakyat). Tetapi sekarang kami bergabung tenaga untuk Selangor baru,” katanya lagi, lapor Malaysiakini.

PN memulakan kempen di Selangor semalam menerusi pelancaran jenteranya.

Antara yang hadir adalah pemimpin tertinggi PN iaitu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, serta barisan pemimpin peringkat negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here