‘Siapa fitnah saya akan disaman’ – Hamzah

0
122

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin sekali lagi menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang melemparkan tuduhan ke atasnya berkait penerimaan wang judi untuk pilihan raya dan tidak membayar cukai.

Tegas Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu, beliau tidak pernah menerima apa-apa dana judi daripada mana-mana pihak dan bersumpah atas nama ALLAH atas perkara itu.

“Saya akan saman siapa yang membuat fitnah. Saya akan saman mereka, saya berada di landasan yang benar,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 10,000 hadirin pada Himpunan Ppakat Pertahan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini pada Sabtu.

Menurut Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, fitnah tersebut menyebabkan pejabatnya ‘diserang’ oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencari bukti menyimpan duit judi.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati tiada wang tersebut ditemukan.

“Selepas itu ada yang buat cerita tidak bayar cukai sehingga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tampil membuat pemeriksaan.

“Saya arahkan pegawai untuk mengutip semua data dan akhirnya kita berjaya selesaikan perkara itu dengan LHDN dan SPRM,” katanya.

Hamzah berkata, sebelum menjadi ahli Parlimen beliau merupakan seorang ahli perniagaan.

“Saya jadi ahli Parlimen bermula pada tahun 2008,” ujar beliau lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, media melaporkan kediaman Ketua Pembangkang itu diserbu dan digeledah oleh pegawai dari LHDN.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai serbuan tersebut.

Kata Anwar, serbuan dan penggeledahan oleh pegawai LHDN di rumah Hamzah merupakan urusan agensi berkenaan selaku badan penyiasat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here