Radzi Jidin kekal MP Putrajaya selepas Hakim tolak bantahan UMNO

0
180

MAHKAMAH Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menerima bantahan awal terhadap cubaan mencabar keputusan PRU-15 bagi Parlimen Putrajaya sekali gus mengekalkan kedudukan penyandangnya, Datuk Dr Radzi Jidin.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman berkata rayuan terhadap keputusan mahkamah tiada merit kerana pempetisyen gagal memplidkan butir-butir yang mencukupi.

“Tiada merit dalam rayuan (terhadap keputusan sebelum ini) memandangkan kurang butiran dalam rayuan pempetisyen,” katanya yang turut disertai hakim Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

Hakim turut memerintahkan Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim yang memfailkan petisyen itu membayar kos RM30,000 kepada Radzi.

Pada 10 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Faizah Jamaludin mengarahkan Ahmad Faisal membayar kos RM20,000 kepada Radzi selepas membatalkan petisyen sama dikemukakan Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya.

Faizah membenarkan bantahan awal yang dibuat oleh Radzi dalam memetik petisyen yang difailkan Ahmad Faisal sebagai cacat kerana ia tidak mempunyai butiran tertentu berkaitan dakwaan rasuah yang berlaku dalam pilihan raya.

“Saya juga mendapati petisyen itu defektif (cacat) kerana gagal mematuhi Peraturan 4 (1) (b) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya.

“Dengan itu, petisyen berkenaan dibatalkan dan kos sebanyak RM20,000 perlu dibayar (Ahmad Faisal) kepada responden (Radzi),” katanya.

Ahmad Faisal memfailkan petisyen itu pada 26 Januari lalu antara lain mendakwa ada bayaran RM150 diberikan pihak calon Perikatan Nasional (PN) itu sebagai balasan mengundi Radzi pada PRU-15.

Beliau mendakwa, bayaran itu diserahkan pekerja PN kepada seorang lelaki dan pengundi di kawasan Parlimen sama yang tersebar dalam kumpulan WhatsApp pada 4 Januari lalu memaklumkan pengundi luar menerima imbuhan.

Terdapat juga beberapa pengundi lain dikatakan diberikan wang demi untuk mendapatkan undi bagi pihak responden.

Pada PRU-15 lalu, Radzi yang juga bekas menteri pendidikan berdepan saingan enam penjuru, tetapi meraih 16,002 undi, berbanding saingan terdekat daripada Barisan Nasional (13,692 undi); Pakatan Harapan (5,988); Pejuang (878); serta dua calon Bebas masing-masing memperoleh 63 dan 20 undi.

Sementara itu, mahkamah sama hari ini memerintahkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU-15 Parlimen Gua Musang dibicarakan secara penuh apabila barisan hakim mendapati terdapat kekhilafan dalam keputusan lalu.

“Ada butiran lengkap dalam rayuan bagi petisyen untuk merit kes didengar,” katanya, lapor Agenda Daily.

Beliau turut mengarahkan petisyen itu didengar oleh hakim baharu dan tarikh pengurusan kes ditetapkan 26 Jun 2023.

Pada 26 Februari lalu, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen mencabar keputusan PRU-15 bagi kerusi Parlimen Gua Musang yang dimenangi calon PN, Datuk Mohd Azizi Abu Naim.

Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Roslan Abu Bakar dalam keputusannya berkata mahkamah menolak ketiga-tiga alasan bagi petisyen yang difailkan Mohd Azmi Mahmood, seorang pengundi di kawasan itu bagi pihak calon Barisan Nasional (BN) Tengku Razaleigh Hamzah.

Roslan berkata petisyen yang difailkan pada 3 Januari lalu telah melepasi bilangan hari yang dibenarkan untuk petisyen difailkan, yang mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 tidak boleh melebihi 28 hari.

Beliau berkata pelantikan peguam bagi pempetisyen juga tidak mengikut Seksyen 38 akta sama.

Pada PRU-15, Tengku Razaleigh gagal mempertahankan kerusi Gua Musang yang disandangnya selama 11 penggal apabila tewas kepada Mohd Azizi dengan majoriti tipis 163 undi.

Mohd Azizi yang mewakili PAS memperoleh 21,826 undi diikuti Tengku Razaleigh (21,663 undi); Asharun Uji (Pakatan Harapan – 4,517 undi) dan Dr Samsu Adabi (Pejuang – 371 undi).

Percubaan Tengku Razaleigh untuk pengiraan semula telah ditolak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here