PN kekal pendirian, tolak tawaran serta Kerajaan Perpaduan

0
130

PAS dan BERSATU kekal dengan pendiriannya, menolak tawaran supaya Perikatan Nasional (PN) menyertai Kerajaan Perpaduan, seperti dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, semalam.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu masih kekal dengan keputusan untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif dalam usaha membangunkan negara.

Selain itu, katanya, PAS tidak boleh menyertai Kerajaan Perpaduan kerana ia umpama mengkhianati janji yang dibuat oleh calon dan pimpinan parti kepada rakyat ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Tawaran ini bukan sesuatu yang baharu kerana kita juga pernah ditawarkan sebelum penubuhan kerajaan. Walaupun hasrat beliau (Fadillah) bagus, tapi PN sudah buat keputusan untuk tidak bersama Kerajaan Perpaduan.

“Ini juga adalah komitmen kita dengan rakyat sewaktu pilihan raya. Kalau kita ubah, ia umpama kita khianat dan berbohong kepada rakyat yang kita janji.

“Walaupun ada tawaran, keputusan kita kekal buat masa ini,” katanya lapor BH Online, hari ini.

Semalam, BH melaporkan Fadillah menyarankan supaya PN menyertai Kerajaan Perpaduan dan bekerjasama demi kesejahteraan rakyat serta melicinkan usaha pemulihan ekonomi, bukannya memilih untuk terus berpolitik.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, PN perlu menyedari tindakan terlalu banyak berpolitik akan memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Ditanya sama ada beliau bersetuju bahawa PN terlalu banyak berpolitik, Tuan Ibrahim menegaskan, teguran dan kritikan dilontarkan adalah sebahagian peranan pembangkang dan ia tidak semestinya memberi kesan pada ekonomi negara.

“Teguran pembangkang tak akan jejaskan kedudukan kewangan, pelaburan dan sebagainya selagi mana kerajaan yang ada mampu mentadbir dengan baik dan sempurna,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Rosol Wahid, menegaskan tiada keperluan untuk PN menyertai Kerajaan Perpaduan, khususnya atas alasan untuk menstabilkan kerajaan.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu turut menyifatkan tawaran berkenaan dibuat kerana Kerajaan Perpaduan mula bimbang dengan isyarat daripada rakyat menjelang enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Tak ada keperluan sertai Kerajaan Perpaduan. Kalau kita nak, dari awal dulu kita dah masuk dah. Saya tak nampak keperluan untuk BERSATU dan PN sertai kerajaan.

“Saya nampak tawaran ini kerana PRN dah hampir, jadi mungkin mereka lihat isyarat menunjukkan rakyat semakin menolak kerajaan,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan PN yang terlalu berpolitik hingga menyebabkan ekonomi negara tidak stabil, Rosol menegaskan situasi itu bukan disebabkan oleh kritikan PN, tapi akibat kelemahan pentadbiran kerajaan.

“Bukan kita yang menyebabkan ekonomi tak stabil, tapi pentadbiran Kerajaan Perpaduan itu sendiri. Harga barang meningkat, tiada kawalan, dasar tiada hala tuju, mata wang menurun. Ini menyebabkan orang mengeluh.

“Jadi tak perlu tuding jari kepada PN. Kita orang politik, memang kerja kita berpolitik. Syarah, ceramah itu kerja kita,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here