Pencemaran sungai: Kalau nak harap Kerajaan Pulau Pinang, ‘confirmed’ gagal – Wan Saiful

0
151

KERAJAAN Pulau Pinang didakwa gagal menyelesaikan masalah pencemaran sungai yang berlaku di negeri itu.

Membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata kerajaan negeri tidak lagi ‘boleh diharapkan’ untuk menyelesaikan masalah itu, dengan mengambil contoh insiden pencemaran Sungai Kereh di bawah Parlimennya.

Jelas Wan Saiful, masalah di sungai terbabit dikesan berpunca daripada ladang ternakan babi yang terletak di kawasan berdekatan.

“Saya nak timbulkan secara spesifik (pencemaran) Sungai Kereh di Tasek Gelugor. Masalah ini sudah berlanjutan bertahun-tahun lamanya. Ada sinar semasa Kubang Kerian (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) menjadi menteri yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah tersebut.

“Tetapi seperti disebut oleh Timbalan Menteri (Datuk Seri Huang Tiong Sii), kalau nak selesai betul-betul, sumber pencemaran adalah ladang babi yang berdekatan di Kampung Selamat.

“Tetapi selama ini tidak selesai. Kalau ikut Timbalan Menteri tadi, kita perlukan kerjasama Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sebagainya. Kalau nak diharapkan Kerajaan Pulau Pinang, saya rasa setakat ini ‘confirmed’ gagal,” katanya ketika mengajukan soalan tambahan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Justeru, Wan Saiful meminta jaminan daripada Kerajaan Persekutuan agar masalah pencemaran di Sungai Kereh dapat diselesaikan, sekali gus dakwanya mengurangkan ‘kegagalan’ Kerajaan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, soalan yang dibangkitkan Wan Saiful dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer kerana didakwa melanggar Peraturan Mesyuarat 36 (6) iaitu membuat sangkaan jahat.

“Dalam soalan tadi YB (Tasek Gelugor) mengatakan kalau mengharapkan Kerajaan Pulau Pinang, ‘confirmed gagal’. Itu merupakan satu kenyataan tak betul,” katanya lapor Astro AWANI.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong kemudian memaklumkan apa yang dibangkitkan Wan Saiful tidak dituju kepada mana-mana ahli Dewan Rakyat.

“Peraturan Mesyuarat 36 (6), seseorang ahli tidak boleh memgeluarkan sangkaan jahat terhadap siapa-siapa ahli lain. YB Tasek Gelugor tidak menuju kepada siapa-siapa ahli (Dewan Rakyat),” jelas beliau.

Begitu pun, RSN Rayer tidak berpuas hati dan mendakwa kenyataan Wan Saiful dituju kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

“Itu tidak adil…” dakwa RSN Rayer.

Alice sekali lagi menegaskan beliau telah membuat ‘ruling’ berhubung perkara itu.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika ini ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Kon Yeow.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here