RORO dari Kuala Kedah ke Langkawi mula beroperasi

0
226

Oleh RIZQI ZABIDI

ORANG ramai kini mempunyai pilihan untuk menaiki feri roll-on roll-off (RORO) yang membawa kenderaan dan penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi berbanding daripada hanya menggunakan perkhidmatan tersebut dari Kuala Perlis sebelum ini.

Menurut Eksekutif Pemasaran dan Jualan Langkawi Kedah RORO Management Sdn Bhd, Ismail Zain, perkhidmatan My RORO Tiga itu telah mula beroperasi pada 22 April lalu bagi tujuan membawa masuk kenderaan dan penumpang bagi Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23).

Katanya, feri tersebut mampu memuatkan kapasiti penumpang seramai 220 orang serta lebih 60 kenderaan awam termasuk kenderaan perdagangan.

Ismail Zain

“Buat masa ini RORO yang beroperasi hanya satu sahaja dan ia mengambil masa tiga jam untuk perjalanan pergi dan juga balik.

“Perkhidmatan RORO dari Kuala Kedah terletak di belakang Jabatan Laut bergerak pada pukul 1.30 petang manakala RORO dari Langkawi di Tanjung Lembung pula adalah pada pukul 9 pagi,” katanya.

Tambahnya, buat masa ini perkhidmatan RORO berkenaan mendapat sambutan yang baik selain perkhidmatan feri di Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah.

“Orang ramai boleh datang membeli tiket di pejabat kami di depan Jabatan Laut atau menghubungi talian 04-7622515. Dalam tempoh enam bulan lagi, kami mungkin akan menambah enam lagi RORO dan jadual perjalanan bagi menampung keperluan.

“Kadar tambang RORO ini juga bergantung kepada jenis kenderaan dan kapasiti enjin (cc) manakala harga tiket bagi penumpang sama seperti perkhidmatan feri biasa iaitu RM26.50 sehala,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here