PRN: Agihan kerusi PN selesai 97 peratus

0
138

PROSES agihan kerusi Perikatan Nasional (PN) di enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) telah selesai 97 peratus.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan terakhir mengenai agihan kerusi itu diadakan pada 5 Jun lalu.

Menurutnya, beberapa kerusi yang masih berbaki akan diputuskan dalam tempoh terdekat.

“Selepas perbincangan akhir pada 5 Jun lalu, kita telah selesai (agihan) 97 peratus kerusi daripada 245 kerusi. Ada lima, enam kerusi belum selesai. Jadi yang tu pilihan raya pun belum lagi. Ada masa lagi.

“Baki agihan sebanyak tiga peratus tu saya jangka siap sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc) dan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco) bagi mengkaji dan menerokai pembangunan loji tenaga solar fotovoltaik terapung di Tasik Kenyir di sebuah hotel di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri tidak mendedahkan kerusi-kerusi yang belum diputuskan itu.

Selain itu, Menteri Besar Terengganu itu memberitahu, proses agihan 32 kerusi di Terengganu pula telah selesai 99 peratusi.

“Satu kerusi je belum yang pastinya bukan kerusi DUN Rhu Rendang,” ujarnya lapor Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri memberitahu, proses pemilihan calon bagi PRN di enam negeri terlibat akan dibincangkan bermula Selasa ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here