KJ nyatakan pendirian bersama PN – Takiyuddin

0
160

BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sehingga kini belum memuktamadkan keputusan namun menyatakan hasrat bersama Perikatan Nasional (PN), kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata, Khairy sudah menemui Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bulan Jun, baru-baru ini dan bekas Ahli Parlimen Rembau itu telah menyatakan pendirian, akan tetap menjadi pengundi di Negeri Sembilan.

“Setakat ini dia belum memutuskannya lagi, tetapi dia sudah menyatakan pendirian tetap bersama kita (PN).

“Dia dah jumpa (Muhyiddin) dan akan berjumpa lagi dalam masa terdekat, itu perkembangan terbaru, namun setakat ini belum ada keputusan.

“Tetapi saya percaya dalam waktu terdekat,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan PN, di Senawang, malam tadi.

Takiyuddin berkata, PN mengharapkan Khairy dapat bersama dalam gabungan itu kerana ketokohan dan ketrampilan beliau dalam kepemimpinan kanan UMNO.

“PN mengharapkan ‘sesuatu’ daripada dia (Khairy) sebab sebagai seorang pimpinan kanan dalam sebuah parti yang besar, tiba-tiba dipecat daripada parti itu. Sudah tentu dia perlukan satu platform yang sesuai untuk masa depan politiknya dan pada masa ini PN adalah paling sesuai,” katanya menurut BH.

Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kepada Khairy.

Tawaran dikemukakan selepas Khairy dipecat daripada UMNO, mengambil kira kemampuan beliau memberi sumbangan bagi memperkukuhkan kedudukan BERSATU, selain ketokohannya sebagai pemimpin politik muda.

Mengulas mengenai kemungkinan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, akan diletakkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), akan datang Takiyuddin tidak menolak kemungkinan itu.

Katanya, setakat ini, Annuar tidak memberikan sebarang syarat apabila beliau diterima sebagai ahli PAS.

Negeri Sembilan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN termasuk Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here