Muhyiddin gesa Anwar jelaskan butiran perjanjian sempadan maritim yang ditandatangani dengan Indonesia

0
203

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menjelaskan butiran perjanjian berkaitan sempadan maritim yang didakwa ditandatangani ketika lawatan Presiden Indonesia Jokowi ke Malaysia baru-baru ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membuat gesaan itu mendedahkan ada menerima laporan bahawa pakar-pakar telah memberikan nasihat supaya Perdana Menteri tidak menandatangani perjanjian itu.

“Saya tak menuduh Perdana Menteri, saya nak minta dia beri penjelasan atau beri kenyataan dan keterangan kepada rakyat secara terbuka tak payah diselindungkan, apa yang telah dia meterai dalam perjanjian itu.

“Kerana ada laporan yang bagi tahu, pakar-pakar maritim nasihat Perdana Menteri jangan sain. Kalau dinasihat jangan sain ada perkara-perkara tertentu,” katanya berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di Senawang malam ini (Sabtu).

Lebih 10,000 pengunjung hadir ke ceramah yang turut dihadiri Presiden Pas yang juga Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali.

Turut hadir Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Muhyiddin berkata, ketika menjadi Perdana Menteri beliau mengakui isu tersebut sukar dimuktamadkan walaupun telah banyak rundingan diadakan.

“Sampai hari ini tidak selesai..fasal ada banyak perkara sensitif dan dia berkaitan dengan sempadan Johor dan Sabah,” katanynya.

Beliau menambah, dalam isu-isu berkaitan kedaulatan, sempadan antarabangsa dengan negara lain tidak boleh dibuat dengan mudah.

“Hal berkaitan dengan kedaulatan tak boleh kompromi. Jangan mudah-mudah nak bagi walau seinci pun,” tegasnya.

Sementara itu dalam ucapan sama Muhyiddin mengajak rakyat Negeri Sembilan dan lima negeri lain yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) supaya mengundi PN sebagai satu referendum bantahan kepada kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional PH-BN kerana gagal mengurus negara dengan berkesan.

“Biar kita ajar dia (kerajaan) betul-betul.. ini isyarat… rakyat sudah marah,” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here