Kluster ‘pecat dan gantung’: Boleh terima, tetapi bukti dulu kesetiaan – Zahid

UMNO bersedia untuk menerima bekas pemimpin yang dikenakan tindakan gantung keahlian atau dipecat untuk kembali menyertai parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bagaimanapun golongan ini perlu terlebih dahulu membuktikan kesetiaan kepada parti, termasuk tidak menghentam parti dari luar serta menjadi gunting dalam lipatan.

“Kami ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sentiasa bersikap terbuka atas saranan perwakilan untuk terima kembali ahli yang dikenakan tindakan disiplin. Dalam soal ini, kita ada Perlembagaan dan peraturan.

“Insya-Allah kita harap yang digantung atau yang lebih daripada itu (dipecat), kita mahu lihat selepas tindakan itu, sama ada mereka benar-benar menjadi orang parti atau gunting dalam lipatan.

“Kalau benar orang parti (mereka) tak berkokok di sana sini, tak hentam parti dari luar. Kalau benar sayangkan parti mereka harus akur, bahawa apa yang pernah dilalui oleh Datuk Lokman (Adam) itu diikuti mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Lokman sebelum ini dipecat oleh UMNO, namun kembali diterima keahliannya sebelum dibenar bertanding dalam pemilihan parti Mac lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, MKT dan Lembaga Disiplin parti sudah melakukan tugas dengan profesional dalam menentukan tindakan disiplin ahli parti dan bersikap terbuka dalam tindakannya.

Bagaimanapun ketika ditemui media selepas penutupan PAU 2023, beliau mengesahkan belum ada rayuan permohonan diterima daripada ahli yang dipecat untuk kembali menyertai parti.

Sebaliknya, katanya, pihaknya ada menerima rayuan daripada mereka yang digantung keahliannya, namun tidak mendedahkan sebarang nama atau jumlah mereka.

“Saya tidak dapat berkongsi perkara itu, namun jumlahnya agak ramai.

“Daripada senarai ini adalah yang saya umumkan sebelum pemilihan parti lalu. Ada memohon secara terus atau ada juga yang memohon melalui rakan MKT,” katanya.

Mengulas pertimbangan akan dilakukan parti, Ahmad Zahid berkata, pendirian MKT ialah Lembaga Disiplin UMNO akan membuat penelitian terhadap semua rayuan dikemukakan.

“Lazimnya, laporan dikemukakan Lembaga Disiplin ini untuk kita menyokong atau menolak dan ia akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan.

“Laporan itu kemudiannya akan dibawa kepada MKT kerana hanya majlis ini sahaja boleh membuat keputusan muktamad mengenai tindakan disiplin diadakan, sama ada ia dalam kategori amaran, menggantung atau dipecat,” katanya.

Sebelum ini, Perwakilan Pemuda UMNO, Mohd Kurniawan Naim Moktar, meminta MKT UMNO menerima kembali pemimpin yang telah dipecat atau digantung, tetapi masih setia dengan parti dan belum menyertai platform politik lain.

Beliau berkata, parti tidak boleh lagi berpecah, sekali gus menyarankan semua supaya melupakan apa juga perselisihan.