SAMA ada DAP mohon maaf atau tidak, Pemuda Umno tetap membantu parti komponen kerajaan perpaduan menghadapi PRN akan datang.
FMT melaporkan, Ketuanya Muhamad Akmal Saleh menjelaskan permohonan maaf tersebut hanya untuk meredakan tekanan antara akar umbi Umno dan DAP.
Katanya, pihaknya akan berjumpa dengan Pemuda Pakatan Harapan untuk “bincang gerak kerja PH dan Barisan Nasional bersama dengan kerajaan perpaduan untuk PRN negeri akan datang,” katanya pada sidang media di tepian perhimpunan agung Umno 2023 petang tadi.
Tambahnya, Pemuda Umno tidak memaksa DAP memohon maaf kepada Umno sambil menegaskan tuntutan itu mewakili suara akar umbi parti.
“Kalau tidak boleh, mereka tidak mahu minta maaf tidak boleh paksa tetapi ia akan menimbulkan ketidaksenangan pengundi dan juga ahli Umno di bawah,” katanya.
Sementara itu, beliau memperakui keluhan Umno Wilayah Persekutuan dan Johor yang tidak berpuas hati sekiranya parti itu sekadar ‘penyeri’ dan ‘pelengkap’ kerajaan perpaduan.
Akmal menjelaskan meskipun Umno kena sedar bahawa ia hari ini tidak mempunyai bilangan kerusi secukupnya untuk menjadi dominan dalam kerajaan, hala tujunya mesti bukan hanya nak menjadi parti yang sekadar “mencukupkan jumlah” kerusi kerajaan sahaja.
“Itulah sebenarnya keresahan di peringkat bawah (akar umbi), dan hari ini rata-rata di peringkat bawah sudah tahu apakah hala tuju yang kita nak,” katanya.
“Umno tidak sama sekali mampu untuk menjadi ‘hanya nak mencukupkan kerusi sahaja’. Umno mesti kembali dominan – ini yang kita mahukan, dan nak kembali dominan Umno mesti mendapat balik kepercayaan rakyat.
“Umno mesti buktikan dan tunjukan bahawa parti ini sudah berubah seperti apa yang rakyat mahukan.”
Terdahulu, Umno Wilayah Persekutuan menyifatkan nasibnya seakan ‘penyeri majlis’ kerajaan perpaduan kerana ia tidak diberi peranan untuk menentukan dasar dan hala tuju bagi wilayah itu, dan menangani isu-isu yang tertangguh.
Ia mempersoalkan kenapa wakil Umno tidak dilantik ke majlis perwakilan penduduk di kawasan Parlimen yang diterajui wakil rakyat Pakatan Harapan. Ia juga mahu Kementerian Wilayah Persekutuan diwujudkan semula dan pemimpinnya, Johari Ghani, yang juga naib presiden parti, diberi peranan penting dalam pemerintahan.
Umno Johor pula mengingatkan pimpinan parti bahawa orang Melayu tidak ada sebab untuk bersama Umno sekiranya peranan dan kedudukannya hanya sebagai ‘parti pelengkap’ dalam kerajaan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.