Jamal tiada hak pelawa Noh kembali kepada Umno – Penganalisis

0
165

PENGANALISIS tidak melihat Tan Sri Noh Omar akan kembali kepada Umno walaupun salah seorang bekas rakannya dalam Umno Selangor, Datuk Seri Jamal Yunos mempelawanya secara terbuka menyertai parti itu semula.

Saintis politik, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, pelawaan Jamal tidak memberi makna dan kekal bersama PN adalah peluang terbaik bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu untuk meneruskan kerjaya politiknya.

“Kenyataan Jamal tidak membawa banyak kesan dalam Umno Selangor, lebih-lebih lagi Umno di peringkat nasional,” katanya, lapor FMT.

Beliau tidak melihat kemungkinan untuk Noh menyertai Umno semula dalam tempoh terdekat “memandangkan presidennya masih Zahid Hamidi dan Majlis Kerja Tertinggi dianggotai semua orang presiden”.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, Jamal tidak mempunyai kuasa untuk menjemput Noh kembali kepada Umno dan ia terpulang kepada MKT dan presiden parti, Zahid.

“Saya tidak fikir Noh akan kembali kepada Umno memandangkan pergeseran antaranya dan Zahid, yang menggugurkan (Noh sebagai calon) pada saat-saat akhir dalam PRU15.

“Dan berdasarkan apa yang Noh katakan, dia nampaknya bersemangat tentang PN yang mempunyai peluang sangat baik pada pilihan raya Selangor,” kata Chin.

Bagaimanapun, Azmi berkata ia akan menjadi rahmat kepada Umno Selangor jika Noh kembali, sambil menambah: “Noh masih mempunyai sedikit pengaruh di Selangor berbanding pemimpin lain, malah (ahli MKT) Isham Jalil dan Jamal.”

Chin berkata, Noh mungkin dipujuk untuk kembali kepada Umno jika ditawarkan jawatan menteri besar Selangor selepas PRN akan datang. Bagaimanapun, ia bukan janji yang boleh dibuat oleh Umno kerana jawatan itu sudah diambil PKR.

Noh, yang bersama Umno selama 30 tahun, digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada PRU 2022, memberi laluan kepada Ketua Wanita Umno Tanjong Karang Habibah Yusof. Bagaimanapun, beliau tewas kepada Zulkafperi Hanapi daripada PN.

Noh kemudian dipecat daripada Umno kerana melanggar disiplin parti.

Jamal berkata, Umno Selangor bersedia mengalu-alukan Noh untuk kembali meskipun kebelakangan ini dia dilihat bersama PN.

Katanya, beliau “sangat sedih” melihat bekas ketua Umno Selangor itu bersama pesaing politik Umno.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here