TikTok keluarkan klip video pelawak Singapura persenda Malaysia, tragedi MH370

0
202

TIKTOK sudah mengeluarkan video tular oleh pelawak komediri, Jocelyn Chia, yang mengandungi kenyataan menghina Malaysia dan tragedi MH370, kerana mengandungi ucapan berunsur kebencian.

Seorang wakil dari TikTok memberitahu video itu sudah diturunkan daripada platform media sosial itu kerana kandungan itu melanggar garis panduan komuniti dan diskriminasi.

Wakil itu menyatakan, “TikTok adalah komuniti yang pelbagai dan inklusif yang tidak bertolak ansur dengan diskriminasi.

“Kami tidak membenarkan kandungan yang mengandungi ucapan kebencian atau yang membabitkan tingkah laku yang penuh kebencian. Oleh itu kami telah mengeluarkannya daripada platform kami.” katanya, lapor BH Online.

Chia memperlekehkan Malaysia dalam satu persembahan komedi bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini, sehingga mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk Malaysia dan Singapura.

Menerusi klip video yang dimuat naik menerusi akaun TikTok, Chia turut secara sengaja menghina seorang penonton persembahannya yang mengaku sebagai rakyat Malaysia dengan perkataan kesat.

Wanita itu juga membuat ‘lawak’ mengenai hubungan Malaysia-Singapura selain merujuk kepada penerbangan Malaysian Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 lalu dengan berkata bahawa kapal terbang Malaysia ‘tidak boleh terbang’.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelawak itu.

Beliau juga menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengambil langkah selanjutnya terhadap pelawak itu.

Chia yang didakwa sebagai penghibur tetap di kelab komedi terkenal di New York City, termasuk Comedy Cellar dan Gotham Comedy Club, berdepan banyak kritikan susulan kenyataan menyinggung perasaan yang dikeluarkannya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon hari ini berkata kerajaan Singapura memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan tindakan melampau pelawak berkenaan.

Beliau yang amat terkejut dengan komen menyinggung yang dibuat oleh Chia turut menegaskan, pelawak itu tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura dan kata-kata atau tindakannya sama sekali tidak mencerminkan pandangan negara itu.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan beberapa pemimpin lain serta pelawak industri tempatan turut mengutuk tindakan beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here