PAS sedia beri beberapa kerusi di Terengganu kepada BERSATU

0
183

PAS Terengganu bersedia memberi laluan kepada BERSATU untuk bertanding di beberapa kerusi di negeri itu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, berkata pembahagian kerusi antara PAS dan BERSATU bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu akan diputuskan dua hari lagi.

Katanya, setakat ini pihak terbabit masih dalam perbincangan berhubung pengagihan kerusi itu.

“Insya-Allah akan ada kerusi bagi rakan BERSATU untuk bertanding di Terengganu, namun setakat ini kita masih belum tamat lagi perbincangan kerusi.

“Dalam dua hari lagi kita akan mengadakan perbincangan bersama kalangan pimpinan (kedua-dua parti) untuk penentuan kerusi yang ingin ditandingi,” katanya pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman KMI Healthcare dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis di sini, hari ini.

Terengganu antara enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini, selain Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya tiada masalah berhubung kesediaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menyifatkan hal itu sebagai satu nilai tambah buat PRN nanti.

“Apa yang penting adalah keinginan yang mahu dicapai oleh PN, sama ada PAS, BERSATU dan GERAKAN adalah untuk menggembleng sokongan sebanyak mungkin dalam kalangan rakyat bukan saja Melayu Islam bahkan daripada komuniti lain,” katanya.

Mengulas isu penjualan tanah kerajaan negeri bernilai RM29.3 juta kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ahmad Samsuri berkata, ia dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Saya pun tidak faham kenapa perkara ini menjadi isu apabila proses yang dijalankan berhubung jual beli itu dibuat mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada di Terengganu,” katanya.

Sebelum ini tular isu penjualan tanah seluas 11,299 meter persegi berdekatan bangunan Badan Perhubungan PAS Terengganu bernilai RM29.3 juta didakwa dijual kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa) dengan bayaran premium RM500,000.

Dilaporkan, penjualan itu tidak disokong Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan bertentangan dengan harga premium yang sepatutnya dikenakan iaitu sebanyak RM5.87 juta, tetapi didakwa dikurangkan kerajaan negeri kepada RM500,000 saja.

BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here