Saringan awal calon PRN sudah bermula – Faizal Azumu

0
148

PERIKATAN Nasional (PN) dalam peringkat menyaring calon yang dinamakan akar umbi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri selepas agihan kerusi antara parti komponen dimuktamadkan minggu depan.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata secara umumnya, rundingan agihan kerusi antara parti komponen PN hampir selesai dan kini dalam peringkat awal menyaring calon yang dicalonkan di peringkat akar umbi.

Katanya, buat masa ini, tidak banyak isu berbangkit mengenai agihan kerusi dan ia berjalan lancar dalam semangat ukhwah antara parti komponen PN.

“Selepas proses rundingan kerusi dimuktamadkan dan saringan calon selesai, kita akan terus berkempen di enam negeri,” katanya, lapor BH Online, hari ini.

Beliau mengulas persediaan PN bagi menghadapi PRN yang dijangka diadakan Julai selepas enam negeri bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan.

Ditanya mengenai aspek yang diambil kira dalam saringan calon, Ahmad Faizal menegaskan selain saringan kesihatan, calon mesti bersih serta berintegriti.

Sementara itu, beliau menegaskan PN juga dijangka mencipta beberapa kejutan di beberapa kerusi terutama kawasan yang ramai pengundi Melayu di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Katanya, jangkaan itu berdasarkan sikap pengundi di enam negeri yang sudah dibuat lebih lima bulan.

“Kita jangka lebih banyak kerusi di tiga negeri yang kini dikuasai PN bakal diperoleh,” katanya.

Ditanya jangkaan Pusat Merdeka Centre bahawa keputusan PRN tidak menghasilkan kejutan dengan pentadbiran sedia ada kekal mentadbir negeri masing-masing, Ahmad Faizal berkata, jangkaan PN berdasarkan sikap pengundi, bukan dibuat melalui tinjauan atas talian seperti dibuat pusat penyelidikan berkenaan.

Katanya, berdasarkan penyelidikan dan tinjauan sikap pengundi, PN dakwanya akan kekal lebih selesa di Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala lebih banyak kerusi dimenangi di negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Kami berkeyakinan penuh dan akan terus bekerja keras memastikan PRN kali ini berpihak kepada PN di enam negeri ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here